Ulangan 28:29-46 Alkitab Berita Baik (BM)

29. Pada siang hari, kamu akan meraba-raba seperti orang buta, dan kamu tidak dapat mencari jalan. Apa pun yang kamu buat, kamu tidak akan berjaya. Kamu akan sentiasa ditindas dan dirompak, dan tiada seorang pun akan menolong kamu.

30. Kamu akan bertunang dengan seorang gadis, tetapi orang lain akan berkahwin dengannya. Kamu akan membina rumah, tetapi kamu tidak akan mendiaminya. Kamu akan menanam pokok anggur, tetapi kamu tidak akan makan buahnya.

31. Lembu kamu akan disembelih di depan mata kamu, tetapi kamu tidak akan makan sedikit pun dagingnya. Keldai kamu akan diseret sementara kamu memandangnya, dan keldai itu tidak akan dikembalikan kepada kamu. Domba kamu akan diberikan kepada musuh, dan tidak seorang pun dapat menolong kamu.

32. Di depan mata kamu, anak-anak kamu, baik lelaki mahupun perempuan, akan diberikan sebagai hamba kepada orang bangsa asing. Tiap-tiap hari, mata kamu pedih mencari anak-anak kamu, tetapi usaha kamu itu sia-sia, kerana mereka tidak akan kembali.

33. Bangsa asing akan merampas segala hasil tanaman yang sudah kamu usahakan dengan susah payah. Kamu sendiri tidak akan menerima suatu apa pun, melainkan penindasan yang terus-menerus dan kekejaman.

34. Penderitaan akan menyebabkan kamu hilang akal.

35. TUHAN akan meliputi kaki kamu dengan kudis yang menyakitkan, dan tidak dapat sembuh. Bisul akan meliputi kamu dari hujung kaki sampai ke hujung rambut.

36. TUHAN akan membuang kamu dan raja kamu ke negeri asing, tempat yang tidak pernah menjadi kediaman kamu ataupun nenek moyang kamu. Di sana kamu akan mengabdi kepada tuhan-tuhan yang dibuat daripada kayu dan batu.

37. Di negeri-negeri tempat TUHAN mencerai-beraikan kamu, orang akan terkejut melihat perkara yang terjadi kepada kamu. Mereka akan mengolok-olok dan mempermalukan kamu.

38. Kamu akan menanam banyak benih, tetapi menuai sedikit sahaja kerana belalang akan makan hasil tanaman kamu.

39. Kamu akan menanam anggur dan memelihara ladang anggur itu, tetapi kamu tidak akan memetik buah anggur ataupun meminum wain, kerana ulat akan makan pokok-pokok anggur.

40. Pokok-pokok zaitun akan tumbuh di seluruh negeri kamu, tetapi kamu tidak akan mendapat minyaknya kerana buahnya akan gugur.

41. Kamu akan mempunyai anak lelaki dan perempuan, tetapi kamu akan kehilangan mereka kerana mereka dibawa pergi sebagai tawanan perang.

42. Semua pokok dan tanaman kamu akan dimakan serangga.

43. Orang bangsa asing yang tinggal di negeri kamu akan semakin berkuasa, sedangkan kamu semakin kehilangan kuasa.

44. Mereka akan mempunyai wang untuk dipinjamkan kepada kamu, sedangkan kamu tidak mempunyai apa-apa untuk dipinjamkan kepada mereka. Akhirnya, mereka akan memerintah kamu.

45. Segala malapetaka itu akan menimpa kamu sehingga kamu binasa, kerana kamu tidak taat kepada TUHAN, Allah kamu dan tidak mematuhi semua hukum yang diberikan-Nya kepada kamu.

46. Bencana-bencana itu akan menjadi bukti hukuman TUHAN atas kamu dan keturunan kamu selama-lamanya.

Ulangan 28