Ulangan 28:15-29 Alkitab Berita Baik (BM)

15. “Tetapi jika kamu tidak taat kepada TUHAN, Allah kamu dan tidak setia melakukan segala perintah dan hukum-Nya yang aku berikan kepada kamu hari ini, maka semua kutuk ini akan menimpa kamu:

16. Terkutuklah kota dan ladang kamu.

17. Terkutuklah tuaian gandum kamu, dan makanan yang kamu buat daripada gandum itu.

18. Terkutuklah kamu sehingga anak kamu sedikit sahaja, hasil tanaman kamu sedikit, dan lembu serta domba kamu tidak banyak.

19. Terkutuklah segala usaha kamu.

20. Jika kamu berbuat jahat dan menolak TUHAN, Dia akan mendatangkan bencana, kekacauan, dan kesusahan dalam segala usaha kamu, sehingga dalam waktu yang singkat sahaja, kamu akan binasa sama sekali.

21. Dia akan mendatangkan penyakit demi penyakit kepada kamu, sehingga tidak seorang pun di kalangan kamu tinggal di tanah yang akan kamu duduki itu.

22. TUHAN akan menghukum kamu dengan penyakit-penyakit yang berjangkit, bengkak-bengkak, dan demam. TUHAN akan mendatangkan kemarau dan angin panas sehingga tuaian kamu rosak. Bencana-bencana itu akan terus menimpa kamu sehingga kamu mati.

23. Hujan tidak akan turun dan tanah kamu akan menjadi keras seperti besi.

24. TUHAN tidak akan menurunkan hujan, melainkan ribut debu dan ribut pasir sehingga kamu habis binasa.

25. TUHAN akan membiarkan kamu dikalahkan oleh musuh. Kamu akan melancarkan serangan terhadap musuh dengan teratur, tetapi kemudian lari bertempiaran. Semua bangsa di dunia akan ngeri melihat kejadian yang menimpa kamu.

26. Apabila kamu mati, burung dan binatang liar akan datang lalu makan mayat kamu. Tiada seorang pun akan mengusir burung dan binatang itu.

27. TUHAN akan mendatangkan bisul pada tubuh kamu seperti yang dilakukan-Nya kepada orang Mesir dahulu. Kulit kamu akan diliputi kudis dan keruping yang gatal, tetapi tidak ada ubatnya.

28. TUHAN akan menyebabkan kamu hilang akal, dan menjadikan kamu buta, serta bingung.

29. Pada siang hari, kamu akan meraba-raba seperti orang buta, dan kamu tidak dapat mencari jalan. Apa pun yang kamu buat, kamu tidak akan berjaya. Kamu akan sentiasa ditindas dan dirompak, dan tiada seorang pun akan menolong kamu.

Ulangan 28