5. Imam-imam suku Lewi juga harus pergi ke sana, kerana mereka mesti mengadili setiap perkara yang melibatkan keganasan. TUHAN, Allah kamu sudah memilih mereka untuk mengabdi kepada-Nya dan untuk memberkati orang demi nama-Nya.
6. Selepas itu semua pemimpin dari kota yang terdekat dengan tempat mayat itu ditemui, mesti mencuci tangan di atas lembu itu,
7. sambil berkata, ‘Kami tidak membunuh orang ini dan kami tidak tahu siapa yang membunuh dia.
8. Ya TUHAN, ampunilah umat-Mu Israel yang sudah Engkau selamatkan dari Mesir. Ampunilah kami dan jangan anggap kami bertanggungjawab atas pembunuhan orang yang tidak bersalah.’
9. Oleh itu, dengan melakukan apa yang dituntut oleh TUHAN, kamu tidak lagi bertanggungjawab atas pembunuhan itu.”
10. “Apabila TUHAN, Allah kamu memberi kamu kemenangan dalam peperangan, lalu kamu mengambil tawanan perang,
11. mungkin di kalangan mereka kamu melihat seorang wanita yang kamu suka, dan ingin kamu kahwini.
12. Bawalah wanita itu ke rumah kamu. Di situ dia akan mencukur kepalanya dan memotong kukunya,
13. serta menyalin pakaian. Wanita itu mesti tinggal di rumah kamu dan berkabung bagi ibu bapanya selama satu bulan. Selepas itu, barulah kamu boleh mengahwini dia.
14. Jika pada kemudian hari kamu tidak mengingininya lagi, bebaskanlah dia. Kamu tidak boleh memperlakukan dia sebagai hamba atau menjual dia, kerana kamu telah memaksa dia bersetubuh dengan kamu.”
15. “Andaikata ada seorang yang mempunyai dua orang isteri, dan kedua-dua orang isteri itu melahirkan anak lelaki, tetapi anak yang sulung bukan anak isteri kesayangannya.
16. Apabila orang itu hendak menentukan pembahagian hartanya kepada kedua-dua orang anaknya itu, dia tidak boleh memihak kepada anak isteri kesayangannya, lalu memberi anak itu bahagian harta yang menjadi hak anak sulung.