Ulangan 21:1-12 Alkitab Berita Baik (BM)

1. “Andaikata seorang didapati terbunuh di padang, di tanah yang akan diberikan TUHAN, Allah kamu kepada kamu, dan kamu tidak tahu siapa yang membunuh orang itu,

2. maka para pemimpin dan hakim kamu harus keluar untuk mengukur jarak dari tempat mayat itu ditemui ke tiap-tiap kota yang berdekatan.

3. Kemudian para pemimpin dari kota yang terdekat dengan tempat mayat itu ditemui mesti memilih seekor lembu muda yang belum pernah digunakan untuk bekerja.

4. Mereka harus membawa lembu itu ke suatu tempat dekat sungai kecil yang airnya tidak pernah kering, dan tanah di situ tidak pernah dibajak atau ditanami apa pun. Di situ, mereka harus mematahkan leher lembu itu.

5. Imam-imam suku Lewi juga harus pergi ke sana, kerana mereka mesti mengadili setiap perkara yang melibatkan keganasan. TUHAN, Allah kamu sudah memilih mereka untuk mengabdi kepada-Nya dan untuk memberkati orang demi nama-Nya.

6. Selepas itu semua pemimpin dari kota yang terdekat dengan tempat mayat itu ditemui, mesti mencuci tangan di atas lembu itu,

7. sambil berkata, ‘Kami tidak membunuh orang ini dan kami tidak tahu siapa yang membunuh dia.

8. Ya TUHAN, ampunilah umat-Mu Israel yang sudah Engkau selamatkan dari Mesir. Ampunilah kami dan jangan anggap kami bertanggungjawab atas pembunuhan orang yang tidak bersalah.’

9. Oleh itu, dengan melakukan apa yang dituntut oleh TUHAN, kamu tidak lagi bertanggungjawab atas pembunuhan itu.”

10. “Apabila TUHAN, Allah kamu memberi kamu kemenangan dalam peperangan, lalu kamu mengambil tawanan perang,

11. mungkin di kalangan mereka kamu melihat seorang wanita yang kamu suka, dan ingin kamu kahwini.

12. Bawalah wanita itu ke rumah kamu. Di situ dia akan mencukur kepalanya dan memotong kukunya,

Ulangan 21