7. Ingatlah! TUHAN, Allah kamu sudah memberkati kamu dalam segala usaha kamu. Dia telah memelihara kamu selama kamu mengembara di padang gurun yang luas ini. Dia telah melindungi kamu selama empat puluh tahun dan memberikan segala sesuatu yang kamu perlukan.
8. Kemudian kita berjalan terus, dan meninggalkan jalan yang melalui kota Elat dan Ezion-Geber, yang menghala ke Laut Mati, lalu kita belok ke arah timur laut dan menuju ke gurun di Moab.
9. Kemudian TUHAN berfirman kepadaku, ‘Jangan ganggu orang Moab, keturunan Lot, ataupun berperang melawan mereka. Aku sudah memberi mereka tanah Ar, dan Aku tidak akan memberi kamu sedikit bahagian pun daripada tanah mereka.’(
10. Dahulu orang Emim, satu bangsa raksasa, tinggal di Ar. Mereka setinggi orang Enak yang juga bangsa raksasa.
11. Seperti orang Enak, orang Emim juga dikenal sebagai orang Refaim, tetapi orang Moab menamakan mereka orang Emim.
12. Dahulu orang Hor tinggal di Edom, tetapi mereka diusir dan dibinasakan oleh keturunan Esau. Kemudian keturunan Esau menduduki tanah mereka, sama seperti umat Israel, yang pada kemudian hari mengusir musuh dari tanah yang diberikan oleh TUHAN kepada mereka.)
13. Kemudian kita menyeberang Sungai Zered sebagaimana yang diperintahkan TUHAN.
14. Peristiwa itu berlaku tiga puluh lapan tahun selepas kita meninggalkan Kades-Barnea. Semua orang yang dapat berperang daripada generasi itu sudah meninggal, sebagaimana yang difirmankan TUHAN.
15. TUHAN terus-menerus menentang mereka sehingga akhirnya mereka semua binasa.
16. Selepas mereka semua meninggal,
17. TUHAN berfirman kepada kita,
18. ‘Pada hari ini kamu akan melalui wilayah Moab, mengikut jalan yang melintasi kota Ar.
19. Kemudian kamu akan dekat dengan negeri orang Amon, keturunan Lot. Jangan ganggu atau serang mereka, kerana Aku tidak akan memberi kamu sedikit bahagian pun daripada tanah yang sudah Aku berikan kepada mereka.’(
20. Wilayah itu juga dikenal sebagai tanah orang Refaim, menurut nama bangsa yang tinggal di sana dahulu; orang Amon menamakan bangsa itu Zamzumim.