18. ‘Pada hari ini kamu akan melalui wilayah Moab, mengikut jalan yang melintasi kota Ar.
19. Kemudian kamu akan dekat dengan negeri orang Amon, keturunan Lot. Jangan ganggu atau serang mereka, kerana Aku tidak akan memberi kamu sedikit bahagian pun daripada tanah yang sudah Aku berikan kepada mereka.’(
20. Wilayah itu juga dikenal sebagai tanah orang Refaim, menurut nama bangsa yang tinggal di sana dahulu; orang Amon menamakan bangsa itu Zamzumim.
21. Orang Refaim berbadan tinggi seperti orang Enak. Mereka sangat kuat dan jumlah mereka banyak, tetapi TUHAN membinasakan mereka supaya orang Amon dapat menduduki tanah itu.
22. Demikian juga yang dilakukan TUHAN untuk orang Edom, iaitu keturunan Esau, yang tinggal di kawasan perbukitan Edom. TUHAN membinasakan orang Hor supaya orang Edom dapat menduduki tanah mereka. Sampai sekarang orang Edom masih tinggal di sana.
23. Tanah di sepanjang pantai Laut Tengah diduduki oleh orang dari pulau Kreta. Mereka sudah membinasakan orang Awi, penduduk asli tempat itu, dan merebut seluruh tanah di situ sampai ke kota Gaza, di sebelah selatan.)
24. Selepas kita melintasi Moab, TUHAN berfirman kepada kita, ‘Sekarang berangkatlah dan seberangilah Sungai Arnon. Aku akan menyerahkan Sihon, raja Amori dari Hesybon, dan juga tanahnya, kepada kamu. Seranglah dia, dan dudukilah tanahnya.
25. Mulai hari ini Aku akan menyebabkan bangsa-bangsa di mana sahaja, takut kepada kamu. Setiap orang akan gementar kerana ketakutan apabila mendengar nama kamu disebut.’ ”
26. “Kemudian aku mengirim beberapa orang utusan dari padang gurun Kedemot kepada Raja Sihon di Hesybon, dengan tawaran perdamaian berikut:
27. ‘Benarkanlah hamba semua melintasi negeri tuanku. Hamba sekalian akan berjalan terus tanpa menyimpang jalan.
28. Hamba sekalian akan membayar makanan yang hamba semua makan dan minuman yang hamba semua minum. Hamba sekalian hanya mahu melintasi negeri tuanku,
29. sehingga hamba semua menyeberangi Sungai Yordan untuk pergi ke tanah yang diberikan oleh TUHAN, Allah hamba semua kepada hamba sekalian. Keturunan Esau yang tinggal di Edom dan orang Moab yang tinggal di Ar, sudah membenarkan hamba sekalian melintasi wilayah mereka.’
30. Tetapi Raja Sihon tidak membenarkan kita melintasi negerinya. Oleh itu, TUHAN, Allah kamu menyebabkan Raja Sihon keras kepala dan nekad untuk menentang kita, supaya kita dapat mengalahkan baginda dan merebut wilayahnya, yang kita duduki sampai sekarang.
31. Kemudian TUHAN berfirman kepadaku, ‘Lihatlah, Aku sudah menyerahkan Raja Sihon dan negerinya kepada kamu. Rebutlah dan dudukilah tanahnya.’
32. Raja Sihon keluar bersama dengan semua orangnya untuk menyerang kita dekat kota Yahas,
33. tetapi TUHAN, Allah kita menyerahkan baginda kepada kita. Kita membunuh Raja Sihon, putera-putera baginda, dan semua orang baginda.
34. Pada masa itu juga kita merebut dan memusnahkan setiap kota, dan membunuh setiap orang lelaki, perempuan, serta kanak-kanak. Kita tidak membiarkan seorang pun hidup.