Ulangan 2:1-13 Alkitab Berita Baik (BM)

1. Akhirnya, menurut perintah TUHAN, kita kembali ke padang gurun melalui jalan yang menuju ke Teluk Akaba. Lama sekali kita mengembara di kawasan perbukitan negeri Edom.

2. Kemudian TUHAN memberitahu aku

3. bahawa sudah cukup lama kita mengembara di perbukitan itu, dan kita harus menuju ke utara.

4. Dia menyuruh aku memberikan petunjuk ini kepada kamu, ‘Tidak lama lagi kamu akan memasuki kawasan perbukitan negeri Edom, wilayah sanak saudara kamu, iaitu keturunan Esau. Mereka akan takut kepada kamu tetapi kamu tidak boleh

5. berperang melawan mereka, kerana Aku tidak mahu memberi kamu satu meter persegi pun daripada bahagian tanah mereka. Aku sudah memberikan negeri Edom kepada keturunan Esau.

6. Kamu boleh membeli makanan dan air daripada mereka.’

7. Ingatlah! TUHAN, Allah kamu sudah memberkati kamu dalam segala usaha kamu. Dia telah memelihara kamu selama kamu mengembara di padang gurun yang luas ini. Dia telah melindungi kamu selama empat puluh tahun dan memberikan segala sesuatu yang kamu perlukan.

8. Kemudian kita berjalan terus, dan meninggalkan jalan yang melalui kota Elat dan Ezion-Geber, yang menghala ke Laut Mati, lalu kita belok ke arah timur laut dan menuju ke gurun di Moab.

9. Kemudian TUHAN berfirman kepadaku, ‘Jangan ganggu orang Moab, keturunan Lot, ataupun berperang melawan mereka. Aku sudah memberi mereka tanah Ar, dan Aku tidak akan memberi kamu sedikit bahagian pun daripada tanah mereka.’(

10. Dahulu orang Emim, satu bangsa raksasa, tinggal di Ar. Mereka setinggi orang Enak yang juga bangsa raksasa.

11. Seperti orang Enak, orang Emim juga dikenal sebagai orang Refaim, tetapi orang Moab menamakan mereka orang Emim.

12. Dahulu orang Hor tinggal di Edom, tetapi mereka diusir dan dibinasakan oleh keturunan Esau. Kemudian keturunan Esau menduduki tanah mereka, sama seperti umat Israel, yang pada kemudian hari mengusir musuh dari tanah yang diberikan oleh TUHAN kepada mereka.)

13. Kemudian kita menyeberang Sungai Zered sebagaimana yang diperintahkan TUHAN.

Ulangan 2