5. Daripada seluruh wilayah semua suku kamu, TUHAN akan memilih satu tempat supaya kamu dapat datang ke hadirat-Nya dan menyembah Dia di situ.
6. Di tempat itu kamu harus mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati TUHAN, dan korban-korban lain, persepuluhan dan persembahan lain, pemberian yang kamu janjikan kepada TUHAN, persembahan yang dipersembahkan dengan sukarela, dan juga anak sulung lembu, serta anak sulung domba kamu.
7. Di sana, di hadapan TUHAN, Allah kamu, yang sudah memberkati kamu, kamu bersama dengan keluarga akan makan dan menikmati segala hasil usaha kamu.
8. Apabila masanya tiba, kamu tidak boleh melakukan hal yang kamu lakukan sekarang. Hingga sekarang kamu semua beribadat dengan sesuka hati,
9. kerana kamu belum sampai di tanah yang diberikan TUHAN, Allah kamu kepada kamu, tempat kamu dapat menetap dengan aman.
10. Setelah kamu menyeberangi Sungai Yordan, TUHAN akan membenarkan kamu menduduki tanah itu lalu menetap di sana. Dia akan melindungi kamu daripada semua musuh supaya kamu dapat hidup dengan aman.
11. TUHAN akan memilih satu tempat yang menjadi tempat beribadat kepada-Nya. Di sanalah kamu mesti membawa segala yang sudah aku perintahkan: korban untuk menyenangkan hati TUHAN dan korban-korban lain, persepuluhan dan persembahan lain, dan pemberian istimewa yang kamu janjikan kepada TUHAN.
12. Bersukacitalah di hadirat TUHAN di tempat itu, bersama dengan anak-anak kamu, hamba-hamba kamu, dan orang Lewi yang tinggal di kota-kota kamu. Ingatlah, bahawa orang Lewi tidak akan mempunyai tanah mereka sendiri.
13. Jangan persembahkan korban kamu di tempat yang kamu pilih sendiri;
14. persembahkanlah korban itu hanya di satu tempat yang dipilih oleh TUHAN, di salah satu wilayah suku kamu. Hanya di sana kamu boleh mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati TUHAN, dan melakukan segala yang sudah aku perintahkan.
15. Tetapi kamu bebas menyembelih ternakan kamu dan makan dagingnya di mana sahaja kamu tinggal. Kamu boleh makan seberapa banyak ternakan yang diberikan TUHAN kepada kamu. Baik kamu tahir ataupun najis, kamu semua boleh makan daging binatang itu sebagaimana kamu makan daging rusa atau kijang.
16. Tetapi jangan makan darah binatang itu; curahkan darahnya ke tanah seperti air.
17. Tiada suatu pun yang kamu persembahkan kepada TUHAN boleh dimakan di tempat tinggal kamu: baik persepuluhan gandum, wain, minyak zaitun, ataupun anak sulung lembu dan anak sulung domba, pemberian yang kamu janjikan kepada TUHAN, persembahan sukarela, ataupun persembahan lain.
18. Kamu dan anak-anak kamu, bersama dengan hamba-hamba kamu dan orang Lewi yang tinggal di kota-kota kamu, harus makan persembahan itu hanya di hadirat TUHAN, Allah kamu, di satu tempat ibadat yang dipilih oleh TUHAN Allah kamu. Di tempat itu kamu harus bersukacita atas segala yang sudah kamu usahakan.
19. Jangan abaikan orang Lewi, selama kamu tinggal di tanah kamu.
20. Apabila TUHAN meluaskan wilayah kamu seperti yang dijanjikan-Nya, kamu boleh makan daging bila-bila sahaja kamu mahu.
21. Jika tempat ibadat itu terlalu jauh, maka bila-bila sahaja, kamu boleh menyembelih lembu atau domba yang diberikan oleh TUHAN kepada kamu. Kamu boleh makan daging binatang itu di rumah, seperti yang sudah aku katakan kepada kamu.
22. Sesiapa sahaja, yang tahir ataupun najis, boleh makan daging itu sebagaimana dia makan daging rusa atau kijang.
23. Tetapi jangan makan daging yang masih berdarah, kerana nyawa binatang itu terkandung di dalam darahnya. Kamu tidak boleh makan nyawa bersama dengan daging.
24. Jangan makan darah; curahkanlah darah ke tanah seperti air.