Ulangan 12:21-32 Alkitab Berita Baik (BM)

21. Jika tempat ibadat itu terlalu jauh, maka bila-bila sahaja, kamu boleh menyembelih lembu atau domba yang diberikan oleh TUHAN kepada kamu. Kamu boleh makan daging binatang itu di rumah, seperti yang sudah aku katakan kepada kamu.

22. Sesiapa sahaja, yang tahir ataupun najis, boleh makan daging itu sebagaimana dia makan daging rusa atau kijang.

23. Tetapi jangan makan daging yang masih berdarah, kerana nyawa binatang itu terkandung di dalam darahnya. Kamu tidak boleh makan nyawa bersama dengan daging.

24. Jangan makan darah; curahkanlah darah ke tanah seperti air.

25. Jika kamu mematuhi hukum itu, TUHAN akan berkenan kepada kamu, dan kamu serta keturunan kamu akan sejahtera.

26. Bawalah persembahan dan pemberian yang sudah kamu janjikan kepada TUHAN ke satu tempat ibadat itu.

27. Di sana persembahkanlah korban untuk menyenangkan hati TUHAN, di atas mazbah TUHAN. Persembahkan juga korban yang dagingnya kamu makan, dan curahkan darahnya ke atas mazbah.

28. Segala perkara yang sudah aku perintahkan kepada kamu harus ditaati dengan setia. Oleh itu kamu dan keturunan kamu akan sejahtera selama-lamanya, kerana kamu melakukan apa yang benar dan berkenan kepada TUHAN, Allah kamu.”

29. “TUHAN, Allah kamu akan membinasakan bangsa-bangsa itu apabila kamu menyerang mereka, dan Dia akan menolong kamu menduduki serta mendiami tanah mereka.

30. Setelah TUHAN membinasakan bangsa-bangsa itu, berhati-hatilah. Jangan ikut kebiasaan agama mereka, kerana hal itu akan mendatangkan malapetaka. Jangan dapatkan maklumat tentang cara mereka menyembah tuhan-tuhan mereka dengan maksud meniru cara mereka itu.

31. Jangan sembah TUHAN, Allah kamu dengan cara mereka menyembah tuhan-tuhan mereka, kerana apabila mereka menyembah tuhan-tuhan itu, mereka melakukan semua perkara jijik yang dibenci oleh TUHAN. Bahkan anak-anak mereka sendiri pun dibakar oleh mereka di atas mazbah sebagai korban kepada tuhan-tuhan mereka.

32. Lakukanlah segala yang sudah aku perintahkan kepada kamu; jangan tambahkan atau kurangkan apa-apa kepada perintah itu.

Ulangan 12