Ulangan 12:15-25 Alkitab Berita Baik (BM)

15. Tetapi kamu bebas menyembelih ternakan kamu dan makan dagingnya di mana sahaja kamu tinggal. Kamu boleh makan seberapa banyak ternakan yang diberikan TUHAN kepada kamu. Baik kamu tahir ataupun najis, kamu semua boleh makan daging binatang itu sebagaimana kamu makan daging rusa atau kijang.

16. Tetapi jangan makan darah binatang itu; curahkan darahnya ke tanah seperti air.

17. Tiada suatu pun yang kamu persembahkan kepada TUHAN boleh dimakan di tempat tinggal kamu: baik persepuluhan gandum, wain, minyak zaitun, ataupun anak sulung lembu dan anak sulung domba, pemberian yang kamu janjikan kepada TUHAN, persembahan sukarela, ataupun persembahan lain.

18. Kamu dan anak-anak kamu, bersama dengan hamba-hamba kamu dan orang Lewi yang tinggal di kota-kota kamu, harus makan persembahan itu hanya di hadirat TUHAN, Allah kamu, di satu tempat ibadat yang dipilih oleh TUHAN Allah kamu. Di tempat itu kamu harus bersukacita atas segala yang sudah kamu usahakan.

19. Jangan abaikan orang Lewi, selama kamu tinggal di tanah kamu.

20. Apabila TUHAN meluaskan wilayah kamu seperti yang dijanjikan-Nya, kamu boleh makan daging bila-bila sahaja kamu mahu.

21. Jika tempat ibadat itu terlalu jauh, maka bila-bila sahaja, kamu boleh menyembelih lembu atau domba yang diberikan oleh TUHAN kepada kamu. Kamu boleh makan daging binatang itu di rumah, seperti yang sudah aku katakan kepada kamu.

22. Sesiapa sahaja, yang tahir ataupun najis, boleh makan daging itu sebagaimana dia makan daging rusa atau kijang.

23. Tetapi jangan makan daging yang masih berdarah, kerana nyawa binatang itu terkandung di dalam darahnya. Kamu tidak boleh makan nyawa bersama dengan daging.

24. Jangan makan darah; curahkanlah darah ke tanah seperti air.

25. Jika kamu mematuhi hukum itu, TUHAN akan berkenan kepada kamu, dan kamu serta keturunan kamu akan sejahtera.

Ulangan 12