Ulangan 11:17-27 Alkitab Berita Baik (BM)

17. Jika kamu melanggar hukum itu, TUHAN akan murka terhadap kamu. Dia akan menahan hujan, lalu tanah kamu akan menjadi kering-kersang sehingga tanaman tidak dapat tumbuh. Kemudian kamu akan segera mati di sana, walaupun tanah yang diberikan-Nya kepada kamu itu, tanah yang baik.

18. Ingatlah dan hargailah hukum-hukum itu. Ikatkanlah hukum itu pada lengan dan juga pada dahi kamu sebagai peringatan.

19. Ajarkanlah hukum itu kepada anak-anak kamu. Percakapkanlah hukum itu semasa kamu di rumah ataupun berpergian, semasa kamu berehat ataupun bekerja.

20. Tuliskanlah hukum itu pada tiang pintu rumah dan pada pintu gerbang kamu.

21. Jika kamu berbuat demikian, kamu dan anak-anak kamu akan hidup lama di tanah yang dijanjikan TUHAN, Allah kamu kepada nenek moyang kamu. Kamu akan tinggal di sana selama ada langit di atas bumi.

22. Patuhilah dengan setia semua hukum yang sudah aku berikan kepada kamu: Kasihilah TUHAN, Allah kamu, laksanakanlah segala yang diperintahkan-Nya, dan setialah kepada-Nya.

23. Kemudian Dia akan mengusir semua bangsa itu apabila kamu bergerak maju, dan kamu akan menduduki tanah milik bangsa-bangsa yang lebih besar dan lebih kuat daripada kamu.

24. Segala tanah yang kamu pijak akan menjadi milik kamu. Wilayah kamu akan terbentang luas, bermula dari padang gurun di selatan sampai ke Pergunungan Lebanon di utara, dan dari Sungai Efrat di timur sampai ke Laut Tengah di barat.

25. Ke mana sahaja kamu pergi di tanah itu, TUHAN, Allah kamu akan menyebabkan orang takut kepada kamu seperti yang dijanjikan-Nya; tiada seorang pun akan dapat menghalangi kamu.

26. Pada hari ini aku memberi kamu pilihan antara berkat dan kutuk -

27. berkat, jika kamu taat kepada perintah TUHAN, Allah kamu yang aku berikan kepada kamu pada hari ini;

Ulangan 11