10. Tanah yang akan kamu duduki itu bukan seperti negeri Mesir, tempat kamu tinggal dahulu. Apabila kamu menanam benih di Mesir, kamu harus bekerja keras untuk mengairi ladang;
11. tetapi tanah yang akan kamu duduki itu kawasan pergunungan dan lembah, yang diairi oleh hujan.
12. TUHAN, Allah kamu memelihara tanah itu dan menjaganya sepanjang tahun.
13. Oleh itu taatilah hukum yang aku berikan kepada kamu hari ini. Kasihilah TUHAN, Allah kamu dan mengabdilah kepada-Nya dengan segenap jiwa raga.
14. Jika kamu berbuat demikian, Dia akan menurunkan hujan ke atas tanah kamu, apabila hujan diperlukan pada musim luruh dan pada musim bunga. Dengan demikian kamu akan mempunyai gandum, wain, minyak zaitun,
15. dan rumput untuk ternakan kamu. Kamu akan mendapat segala makanan yang kamu kehendaki.
16. Jangan biarkan diri kamu disesatkan sehingga berpaling daripada TUHAN, lalu menyembah dan mengabdi kepada tuhan-tuhan lain.
17. Jika kamu melanggar hukum itu, TUHAN akan murka terhadap kamu. Dia akan menahan hujan, lalu tanah kamu akan menjadi kering-kersang sehingga tanaman tidak dapat tumbuh. Kemudian kamu akan segera mati di sana, walaupun tanah yang diberikan-Nya kepada kamu itu, tanah yang baik.
18. Ingatlah dan hargailah hukum-hukum itu. Ikatkanlah hukum itu pada lengan dan juga pada dahi kamu sebagai peringatan.
19. Ajarkanlah hukum itu kepada anak-anak kamu. Percakapkanlah hukum itu semasa kamu di rumah ataupun berpergian, semasa kamu berehat ataupun bekerja.
20. Tuliskanlah hukum itu pada tiang pintu rumah dan pada pintu gerbang kamu.
21. Jika kamu berbuat demikian, kamu dan anak-anak kamu akan hidup lama di tanah yang dijanjikan TUHAN, Allah kamu kepada nenek moyang kamu. Kamu akan tinggal di sana selama ada langit di atas bumi.
22. Patuhilah dengan setia semua hukum yang sudah aku berikan kepada kamu: Kasihilah TUHAN, Allah kamu, laksanakanlah segala yang diperintahkan-Nya, dan setialah kepada-Nya.
23. Kemudian Dia akan mengusir semua bangsa itu apabila kamu bergerak maju, dan kamu akan menduduki tanah milik bangsa-bangsa yang lebih besar dan lebih kuat daripada kamu.