17. Jangan berat sebelah apabila kamu membuat keputusan; hakimilah tiap-tiap orang dengan menggunakan dasar yang sama, tidak kira siapa orang itu. Jangan takut akan sesiapa pun, kerana keputusan yang kamu buat itu keputusan daripada Allah. Jika ada perkara yang terlalu sukar bagi kamu, serahkanlah perkara itu kepadaku; aku akan membuat keputusan bagi perkara itu.’
18. Pada masa itu juga aku memberikan petunjuk kepada kamu tentang segala perkara lain yang harus kamu lakukan.”
19. “Kita melaksanakan perintah TUHAN, Allah kita. Kita meninggalkan Gunung Sinai, lalu berjalan melalui padang gurun yang luas dan menakutkan, serta menuju kawasan perbukitan negeri orang Amori. Apabila kita sampai di Kades-Barnea,
20-21. aku berkata, ‘Sekarang, kamu sudah sampai di kawasan perbukitan negeri orang Amori, tanah yang hendak diberikan kepada kita oleh TUHAN, Allah kita, Allah nenek moyang kita. Lihatlah, tanah itu terbentang di hadapan kamu. Pergilah dan dudukilah tanah itu sebagaimana yang diperintahkan Allah. Jangan bimbang ataupun takut.’
22. Tetapi kamu datang kepadaku dan berkata, ‘Marilah kita menyuruh beberapa orang mendahului kita untuk mengintip tanah itu, supaya mereka boleh memberitahu kita jalan terbaik yang harus diikuti, dan keadaan kota-kota di sana.’
23. Cadangan itu nampaknya baik. Oleh itu aku memilih dua belas orang, seorang daripada tiap-tiap suku.
24. Mereka pergi ke kawasan perbukitan sampai ke Lembah Eskol, lalu menjelajahi tempat itu.
25. Mereka membawa balik buah-buahan untuk kita, dan melaporkan bahawa tanah yang akan diberikan oleh TUHAN, Allah kita kepada kita itu sangat subur.
26. Tetapi kamu membantah perintah TUHAN, Allah kamu, dan tidak mahu pergi ke tanah itu.
27. Kamu bersungut-sungut sesama sendiri sambil berkata, ‘TUHAN membenci kita. Dia membawa kita keluar dari Mesir semata-mata untuk menyerahkan kita kepada orang Amori, supaya mereka membunuh kita.
28. Mengapa kita harus pergi ke sana? Kita takut. Pengintip-pengintip yang kita kirim itu memberitahu kita bahawa orang di sana lebih kuat dan lebih tinggi daripada kita. Orang di sana tinggal di kota-kota yang temboknya setinggi langit. Pengintip-pengintip itu nampak raksasa di sana!’
29. Tetapi aku berkata, ‘Jangan takut kepada orang di sana.
30. TUHAN, Allah kamu akan memimpin kamu. Dia akan berperang untuk kamu, seperti yang sudah kamu nampak sendiri di Mesir
31. dan di padang gurun. Kamu sudah melihat cara Dia memimpin kamu dengan selamat di sepanjang perjalanan ke tempat ini, seperti seorang bapa menggendong anaknya.’
32. Tetapi biarpun aku berkata demikian, kamu tetap tidak mahu percaya kepada TUHAN,
33. walaupun Dia selalu berjalan di hadapan kamu untuk mencari tempat berkhemah bagi kamu. Dia berada di hadapan kamu dalam tiang api pada waktu malam dan dalam tiang awan pada waktu siang, untuk menunjukkan jalan kepada kamu.
34. TUHAN mendengar sungutan kamu lalu Dia murka. Dia berfirman,
35. ‘Tidak seorang pun antara kamu daripada generasi yang jahat ini akan pergi ke tanah yang subur itu, yang sudah Aku janjikan untuk diberikan kepada nenek moyang kamu.
36. Hanya Kaleb anak Yefune akan pergi ke sana, kerana dia tetap setia kepada-Ku. Aku akan memberi Kaleb dan keturunannya tanah yang sudah dijelajahinya.’