2. Pada suatu hari, Rut berkata kepada Naomi, “Benarkanlah saya pergi ke ladang untuk mengumpulkan barli yang terjatuh dari tangan para penuai. Tentu saya akan menemui orang yang akan membiarkan saya berbuat begitu.”Naomi menjawab, “Pergilah, anakku.”
3. Kemudian Rut pergi ke ladang. Dia mengikut para penuai di sana, sambil memungut barli yang terjatuh. Kebetulan dia berada di ladang kepunyaan Boas, seorang daripada sanak saudara Elimelekh.
4. Tidak berapa lama kemudian, Boas sendiri datang dari Betlehem. Dia memberikan salam kepada para pekerjanya. “Semoga TUHAN menyertai kamu!” katanya.“Semoga TUHAN memberkati tuan!” jawab mereka.
5. Kemudian Boas bertanya kepada ketua pekerjanya, “Siapakah keluarga wanita itu?”
6. Ketua pekerja itu menjelaskan, “Dia wanita asing yang baru datang dari Moab bersama dengan Naomi.
7. Dia minta izin untuk mengikut para pekerja kita memungut barli yang tercicir. Sejak pagi lagi dia bekerja, dan baru saja dia berhenti untuk berehat sebentar di pondok.”
8. Kemudian Boas berkata kepada Rut, “Dengarlah nasihat saya. Janganlah pergi memungut barli di ladang lain, kecuali ladang ini. Bekerjalah dengan para pekerja wanita di sini.
9. Lihatlah ke mana mereka bekerja, dan ikutlah mereka. Dengan tegas saya melarang para pekerja lelaki daripada mengganggu kamu. Apabila kamu haus, minumlah air dari tempayan-tempayan yang telah diisikan oleh mereka.”
15-16. Apabila dia pergi lagi untuk memungut barli, Boas berkata kepada para pekerjanya, “Biarlah dia memungut barli bahkan antara yang sudah diberkas. Jangan larang dia. Cabutlah beberapa batang barli dari berkas-berkas itu dan tinggalkanlah di sana supaya dapat dipungutnya.”
17. Rut memungut barli di ladang itu sehingga senja. Setelah dia mengirik barli itu, dia mendapati bahawa barli yang dikumpulkannya hampir sepuluh kilogram.
18. Dia membawa barli itu ke kota, lalu menunjukkan kepada ibu mentuanya berapa banyak barli yang telah dikumpulkannya. Dia juga memberi ibu mentuanya lebihan makanan yang disimpannya pada waktu makan.
19. Naomi bertanya kepadanya, “Di mana engkau mendapat semua ini? Di ladang siapa engkau bekerja? Semoga Allah memberkati orang yang berbuat baik kepadamu!”Rut menceritakan kepada Naomi bahawa dia telah bekerja di ladang seorang yang bernama Boas.
20. “Semoga TUHAN memberkati Boas!” kata Naomi kepada Rut. “TUHAN sentiasa menepati janji-Nya, baik kepada orang yang masih hidup mahupun kepada orang yang sudah meninggal.” Katanya lagi, “Orang itu saudara dekat kita. Dialah yang patut bertanggungjawab terhadap kita.”
21. Rut berkata, “Lagi pula, dia membenarkan saya memungut barli bersama-sama para pekerjanya sehingga mereka habis menuai seluruh ladang itu.”
22. Naomi berkata kepada Rut, “Memang, nak. Lebih baik engkau bekerja dengan para pekerja wanita di ladang Boas. Jika engkau bekerja di ladang orang lain, mungkin engkau akan diganggu oleh orang di sana.”
23. Maka Rut tetap mengikuti para pekerja wanita di ladang Boas. Rut memungut barli dan gandum di sana sehingga semuanya habis dituai. Selama itu Rut tinggal bersama dengan ibu mentuanya.