Roma 8:17-23 Alkitab Berita Baik (BM)

17. Kerana kita anak-anak Allah, kita akan menerima berkat-berkat yang disediakan oleh Allah untuk umat-Nya. Bersama dengan Kristus, kita juga akan menerima segala yang sudah disediakan oleh Allah untuk Dia, kerana jika kita menderita bersama-sama Kristus, kita juga akan mendapat kemuliaan-Nya.

18. Pada pendapatku, segala penderitaan yang kita alami sekarang tidak dapat dibandingkan dengan kemuliaan yang akan ditunjukkan kepada kita.

19. Dengan penuh kerinduan, alam semesta menanti-nantikan masanya Allah menunjukkan anak-anak-Nya.

20. Alam semesta sudah dibiarkan menjadi sia-sia, bukan kerana kehendak sendiri, tetapi kerana Allah menetapkannya demikian. Meskipun demikian ada juga harapan

21. bahawa pada suatu hari alam semesta akan dibebaskan daripada kuasa yang menghancurkannya, lalu menikmati kebebasan dan kemuliaan dengan anak-anak Allah.

22. Kita tahu bahawa sehingga saat ini alam semesta merintih kesakitan seperti kesakitan yang dialami wanita yang bersalin.

23. Bukan sahaja alam semesta yang merintih, tetapi kita juga merintih dalam batin. Kita yang sudah menerima Roh Allah sebagai kurnia Allah yang pertama, pun masih menunggu masanya Allah menjadikan kita anak-anak-Nya dan membebaskan diri kita seluruhnya.

Roma 8