10. Tetapi jika Kristus hidup dalam diri kamu, Roh Allah mengurniakan hidup kepada kamu, walaupun badan kamu akan mati kerana dosa. Hal itu demikian kerana kamu sudah berbaik semula dengan Allah.
11. Jika Roh Allah yang membangkitkan Kristus daripada kematian, hidup dalam diri kamu, Dia yang membangkitkan Kristus daripada kematian itu, juga akan menghidupkan badan kamu yang fana. Dia melakukannya dengan Roh-Nya yang hidup dalam diri kamu.
12. Oleh itu saudara-saudaraku, inilah kewajipan kita: Kita tidak boleh hidup menurut kehendak tabiat manusia.
13. Jika kamu hidup menurut tabiat manusia, kamu akan mati; tetapi jika dengan kuasa Roh Allah kamu mematikan semua perbuatan kamu yang berdosa, kamu akan hidup.
14. Orang yang dipimpin oleh Roh Allah ialah anak-anak Allah.
15. Roh yang dikurniakan oleh Allah kepada kamu tidak memperhamba kamu, sehingga kamu hidup dalam ketakutan. Sebaliknya Roh Allah menjadikan kamu anak-anak Allah, dan dengan kuasa Roh Allah kita memanggil Allah “Bapa, ya Bapaku!”
16. Roh Allah bersama dengan roh kita menyatakan bahawa kita anak-anak Allah.
17. Kerana kita anak-anak Allah, kita akan menerima berkat-berkat yang disediakan oleh Allah untuk umat-Nya. Bersama dengan Kristus, kita juga akan menerima segala yang sudah disediakan oleh Allah untuk Dia, kerana jika kita menderita bersama-sama Kristus, kita juga akan mendapat kemuliaan-Nya.
18. Pada pendapatku, segala penderitaan yang kita alami sekarang tidak dapat dibandingkan dengan kemuliaan yang akan ditunjukkan kepada kita.
19. Dengan penuh kerinduan, alam semesta menanti-nantikan masanya Allah menunjukkan anak-anak-Nya.
20. Alam semesta sudah dibiarkan menjadi sia-sia, bukan kerana kehendak sendiri, tetapi kerana Allah menetapkannya demikian. Meskipun demikian ada juga harapan
21. bahawa pada suatu hari alam semesta akan dibebaskan daripada kuasa yang menghancurkannya, lalu menikmati kebebasan dan kemuliaan dengan anak-anak Allah.
22. Kita tahu bahawa sehingga saat ini alam semesta merintih kesakitan seperti kesakitan yang dialami wanita yang bersalin.