Roma 7:4-16 Alkitab Berita Baik (BM)

4. Saudara-saudaraku, begitu juga halnya dengan kamu. Dari segi Taurat, kamu sudah mati, kerana kamu sebahagian daripada tubuh Kristus. Kamu sekarang menjadi milik Dia yang sudah dibangkitkan daripada kematian, supaya kita menjadi berguna bagi Allah dalam kehidupan kita.

5. Dahulu kita hidup menurut tabiat manusia, dan pelbagai keinginan yang berdosa timbul dalam diri kita kerana adanya Taurat. Hal itu menyebabkan kita melakukan perkara-perkara yang mengakibatkan kematian.

6. Tetapi sekarang kita bebas daripada kuasa Taurat, kerana kita sudah mati terhadap Taurat yang dahulu menguasai kita. Kita tidak lagi mengabdikan diri dengan cara lama menurut hukum yang tertulis. Tetapi sekarang kita mengabdikan diri menurut cara baru yang ditunjukkan oleh Roh Allah.

7. Jika demikian, apakah yang dapat kita katakan? Adakah Taurat itu jahat? Tentu tidak! Tetapi Tauratlah yang menyebabkan aku tahu akan dosa. Jika Taurat tidak mengatakan, “Jangan tamak akan harta orang,” aku tidak tahu akan ketamakan.

8. Melalui hukum itu, dosa mendapat peluang untuk membangkitkan pelbagai ketamakan dalam diriku. Jika tidak ada hukum agama, dosa tidak berkuasa.

9. Dahulu aku hidup tanpa hukum agama. Tetapi apabila aku mengetahui hukum itu, dosa mula berkuasa

10. dan aku pun mati. Hukum yang seharusnya menyebabkan aku hidup, malahan mendatangkan kematian.

11. Melalui hukum, dosa mendapat peluang untuk menipu dan membunuh aku.

12. Taurat berasal daripada Allah, dan setiap hukum berasal daripada Allah, maka setiap hukum adil dan baik.

13. Adakah hal ini bererti bahawa apa yang baik menyebabkan kematianku? Tentu tidak! Dosalah yang menyebabkan kematianku. Dengan menggunakan yang baik, dosa menyebabkan kematianku, supaya nyatalah sifat-sifat dosa. Melalui hukum, terbuktilah betapa jahatnya dosa.

14. Kita tahu bahawa Taurat berasal daripada Roh Allah; tetapi aku ini hanya manusia yang dijual sebagai hamba kepada dosa.

15. Aku tidak memahami perbuatanku sendiri. Perkara-perkara yang ingin aku lakukan, tidak aku lakukan; tetapi perkara-perkara yang aku benci, itulah yang aku lakukan.

16. Apabila aku melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan keinginanku, hal itu bererti aku mengakui bahawa Taurat itu baik.

Roma 7