3. Tetapi sahabatku, kamu pun melakukan perkara-perkara yang kamu tuduhkan kepada orang lain. Kamu pasti tidak dapat melepaskan diri daripada hukuman Allah.
4. Kamu mungkin meremehkan kebaikan hati Allah, kemurahan hati-Nya, dan kesabaran-Nya yang tidak terhingga. Kamu tentu tahu bahawa Allah menunjukkan kebaikan hati-Nya kerana Dia mahu kamu bertaubat daripada dosa.
5. Kamu degil dan keras kepala. Oleh itu, kamu sendiri yang menjadikan hukuman kamu semakin berat pada Hari Kiamat apabila Allah menyatakan kemurkaan-Nya dan menjatuhkan hukuman yang adil.
6. Hal itu demikian, kerana Allah akan membalas setiap orang setimpal dengan perbuatannya.
7. Allah akan memberikan hidup sejati dan kekal kepada mereka yang sentiasa berbuat baik, dan mengharapkan kemuliaan, penghormatan, dan hidup yang kekal.
8. Tetapi mereka yang mementingkan diri sendiri dan menolak Allah supaya dapat melakukan kejahatan, akan ditimpa kemurkaan dan kemarahan Allah.
9. Setiap orang yang berbuat jahat akan menanggung kesengsaraan dan penderitaan: mula-mula orang Yahudi, dan juga orang bukan Yahudi.
10. Tetapi Allah akan memberikan kemuliaan, penghormatan, dan kesejahteraan kepada semua orang yang berbuat baik: mula-mula kepada orang Yahudi, dan juga kepada orang bukan Yahudi.
11. Hal itu demikian, kerana Allah menghakimi semua orang dengan adil.
12. Orang bukan Yahudi tidak mempunyai Taurat Musa. Mereka berdosa dan binasa, tetapi mereka tidak dihukum menurut Taurat. Orang Yahudi mempunyai Taurat Musa. Mereka berdosa dan dihukum berdasarkan Taurat.