17. Kerana aku bersatu dengan Kristus Yesus, aku berbangga dengan kerjaku untuk Allah.
18. Aku akan berani berkata-kata dan hanya tentang apa yang sudah dilakukan oleh Kristus melalui aku, supaya orang bukan Yahudi taat kepada Allah. Hal itu dilakukan dengan kata-kata dan perbuatan,
19. dengan keajaiban dan mukjizat, serta dengan kuasa Roh Allah. Aku sudah mengisytiharkan keseluruhan Berita Baik tentang Kristus, dalam perjalananku dari Yerusalem sampai ke Ilirikum.
20. Aku berazam mengisytiharkan Berita Baik di tempat orang yang belum pernah mendengar tentang Kristus, supaya aku tidak membina kerja di atas asas yang diletakkan oleh orang lain.
21. Di dalam Alkitab tertulis,“Mereka yang belum pernah menerima berita tentang Dia akan melihat,dan mereka yang belum pernah mendengar akan mengerti.”
22. Itulah sebabnya banyak kali aku terhalang melawat kamu.
23. Tetapi sekarang kerjaku di daerah-daerah ini sudah selesai. Sudah bertahun-tahun lamanya aku ingin berjumpa dengan kamu.
24. Dalam perjalananku ke negeri Sepanyol, aku akan singgah di kota kamu. Selepas beberapa lama bergembira dengan kamu, aku berharap kamu dapat menolong aku meneruskan perjalanan ke Sepanyol.
25. Tetapi sekarang ini aku akan pergi ke Yerusalem untuk membawa bantuan bagi umat Allah di situ.
26. Jemaah di Makedonia dan Akhaya dengan sukacita membuat keputusan untuk memberikan derma kepada saudara-saudara yang miskin di kalangan umat Allah di Yerusalem.
27. Mereka sendiri membuat keputusan itu. Memang sebenarnya mereka patut menolong saudara-saudara yang miskin itu, kerana orang bukan Yahudi sudah menerima berkat rohani daripada orang Yahudi. Dengan demikian orang bukan Yahudi patut menolong orang Yahudi dengan berkat kebendaan.
28. Apabila aku menyelesaikan tugas itu, dan menyerahkan semua wang derma itu kepada mereka, aku akan berangkat ke negeri Sepanyol dan akan melawat kamu dalam perjalanan ke sana.
29. Apabila aku datang kepada kamu, aku akan berkongsi berkat yang berlimpah-limpah daripada Kristus dengan kamu.