Roma 11:9-23 Alkitab Berita Baik (BM)

9. Daud juga berkata,“Biarlah pesta jamuan mereka menjadi perangkap,biarlah mereka jatuh, dan biarlah mereka dihukum!

10. Biarlah mata mereka menjadi buta sehingga tidak dapat melihat;dan biarlah mereka sentiasa menderita kerana kesusahan.”

11. Aku bertanya lagi: Ketika orang Yahudi tersandung, adakah hal ini berlaku supaya mereka jatuh dan tidak bangkit lagi? Sekali-kali tidak! Kerana mereka berdosa, orang bukan Yahudi diselamatkan, supaya orang Yahudi iri hati terhadap mereka.

12. Kerana orang Yahudi berdosa, dunia mendapat berkat yang berlimpah-limpah, dan kerana kemiskinan rohani orang Yahudi, orang bukan Yahudi mendapat berkat yang berlimpah-limpah. Jika demikian halnya, lebih besar lagi berkat yang akan dikurniakan oleh Allah, apabila semua orang Yahudi diselamatkan!

13. Sekarang aku berkata-kata kepada kamu, orang bukan Yahudi. Selama aku menjadi rasul kepada orang bukan Yahudi, aku bangga dengan tugasku itu.

14. Aku berharap dapat membuat bangsaku iri hati, dan kerana apa yang aku lakukan, Allah akan menyelamatkan sebahagian daripada mereka.

15. Kerana semasa mereka ditolak oleh Allah, orang bangsa lain di dunia dijadikan sahabat Allah. Apakah yang akan berlaku, apabila mereka diterima oleh Allah? Keadaannya tentu seperti orang mati hidup semula!

16. Jika kepingan pertama daripada sebuku roti diberikan kepada Allah, seluruh roti itu menjadi milik Allah. Jika akar pokok dipersembahkan kepada Allah, cabang-cabang pokok itu pun milik-Nya.

17. Beberapa cabang pokok zaitun yang dipelihara sudah dikerat, lalu di situ dicantum sebatang cabang pokok zaitun liar untuk menikmati segala yang baik daripada pokok zaitun itu. Kamu orang bukan Yahudi seperti cabang pokok zaitun liar itu. Kamu dicantum di situ untuk menikmati berkat-berkat daripada orang Yahudi.

18. Oleh itu janganlah kamu hina mereka yang sudah dikerat seperti cabang-cabang itu. Janganlah menjadi sombong! Kamu hanya cabang; cabang tidak memberikan khasiat kepada akar, sebaliknya akar yang memberikan khasiat kepada cabang.

19. Tetapi kamu akan berkata, “Tidakkah cabang-cabang itu dikerat supaya kami dapat dicantum?”

20. Memang betul. Mereka dikerat kerana mereka tidak beriman, tetapi kamu tetap di situ kerana kamu beriman. Janganlah hal itu menyebabkan kamu sombong, tetapi takutlah.

21. Jika orang Yahudi yang seperti cabang-cabang asli, dibenarkan oleh Allah untuk tumbuh terus pada pokok itu, tentu hal yang sama boleh dilakukan-Nya kepada kamu.

22. Di sini kita melihat bahawa Allah baik, tetapi Dia juga mengadili dengan keras. Dia bertindak keras terhadap mereka yang berdosa, tetapi Dia baik hati terhadap kamu asalkan kehidupan kamu layak menerima kebaikan-Nya. Jika tidak, kamu juga akan dikerat.

23. Jika orang Yahudi kembali dan percaya, mereka akan dicantum semula ke tempat asal, kerana Allah berkuasa melakukan hal itu.

Roma 11