3. “Ya Tuhan, mereka sudah membunuh nabi-nabi-Mu dan memusnahkan mazbah-mazbah-Mu. Hanya aku seorang yang tertinggal, dan mereka hendak membunuh aku.”
4. Apakah jawapan Allah kepada Elia? Allah berfirman, “Aku sudah menyisihkan tujuh ribu orang bagi diri-Ku dan mereka belum pernah menyembah Dewa Baal.”
5. Demikian juga halnya sekarang: Ada sebilangan kecil orang yang sudah dipilih oleh Allah kerana rahmat-Nya.
6. Pilihan Allah itu tidak berdasarkan perbuatan mereka, tetapi berdasarkan rahmat Allah. Jika pilihan Allah itu berdasarkan perbuatan manusia, maka rahmat Allah itu bukanlah rahmat yang sejati.
7. Lalu bagaimana? Umat Israel tidak mendapat apa yang dicari oleh mereka. Yang mendapatnya hanyalah sebilangan kecil orang yang sudah dipilih oleh Allah. Yang lainnya menjadi keras kepala sehingga tidak mendengar panggilan Allah.
8. Di dalam Alkitab tertulis, “Allah menjadikan hati dan fikiran mereka lembap; sampai hari ini mata mereka tidak dapat melihat dan telinga mereka tidak dapat mendengar.”
9. Daud juga berkata,“Biarlah pesta jamuan mereka menjadi perangkap,biarlah mereka jatuh, dan biarlah mereka dihukum!
10. Biarlah mata mereka menjadi buta sehingga tidak dapat melihat;dan biarlah mereka sentiasa menderita kerana kesusahan.”
11. Aku bertanya lagi: Ketika orang Yahudi tersandung, adakah hal ini berlaku supaya mereka jatuh dan tidak bangkit lagi? Sekali-kali tidak! Kerana mereka berdosa, orang bukan Yahudi diselamatkan, supaya orang Yahudi iri hati terhadap mereka.
12. Kerana orang Yahudi berdosa, dunia mendapat berkat yang berlimpah-limpah, dan kerana kemiskinan rohani orang Yahudi, orang bukan Yahudi mendapat berkat yang berlimpah-limpah. Jika demikian halnya, lebih besar lagi berkat yang akan dikurniakan oleh Allah, apabila semua orang Yahudi diselamatkan!
13. Sekarang aku berkata-kata kepada kamu, orang bukan Yahudi. Selama aku menjadi rasul kepada orang bukan Yahudi, aku bangga dengan tugasku itu.
14. Aku berharap dapat membuat bangsaku iri hati, dan kerana apa yang aku lakukan, Allah akan menyelamatkan sebahagian daripada mereka.
15. Kerana semasa mereka ditolak oleh Allah, orang bangsa lain di dunia dijadikan sahabat Allah. Apakah yang akan berlaku, apabila mereka diterima oleh Allah? Keadaannya tentu seperti orang mati hidup semula!
16. Jika kepingan pertama daripada sebuku roti diberikan kepada Allah, seluruh roti itu menjadi milik Allah. Jika akar pokok dipersembahkan kepada Allah, cabang-cabang pokok itu pun milik-Nya.
17. Beberapa cabang pokok zaitun yang dipelihara sudah dikerat, lalu di situ dicantum sebatang cabang pokok zaitun liar untuk menikmati segala yang baik daripada pokok zaitun itu. Kamu orang bukan Yahudi seperti cabang pokok zaitun liar itu. Kamu dicantum di situ untuk menikmati berkat-berkat daripada orang Yahudi.