1. Surat ini daripada Paulus, hamba Kristus Yesus, dan rasul yang dipilih serta dipanggil oleh Allah, untuk mengisytiharkan Berita Baik daripada Allah.
2. Berita Baik itu telah dijanjikan oleh Allah sejak dahulu kala melalui nabi-nabi-Nya, dan janji itu tertulis di dalam Alkitab.
3. Berita Baik itu tentang Anak Allah, Tuhan kita Yesus Kristus. Sebagai manusia, Dia keturunan Daud,
4. tetapi sebagai ilahi, Dia ternyata Anak Allah, kerana dengan kuasa yang besar Allah membangkitkan-Nya daripada kematian.
5. Melalui Dia, Allah sudah menganugerahi aku tugas istimewa untuk menjadi seorang rasul, supaya aku dapat mengabdikan diri kepada Kristus dengan memimpin orang daripada semua bangsa agar percaya dan taat kepada-Nya.