16. Oleh itu janganlah terlalu baik atau terlalu bijak; mengapa membinasakan diri sendiri?
17. Tetapi janganlah terlalu jahat atau terlalu bodoh; mengapa mati sebelum waktunya?
18. Hindarilah kedua-dua hal yang keterlaluan itu. Jika kita menghormati Allah, tentu kita akan berjaya.
19. Hikmat menjadikan pemiliknya lebih perkasa daripada sepuluh orang penguasa di sebuah kota.
20. Di bumi tiada seorang pun yang selalu berbuat baik dan tidak pernah melakukan kesalahan.
21. Jangan pedulikan segala kata orang. Mungkin kamu mendengar hambamu mengutuk kamu,
22. dan kamu tahu bahawa kamu sendiri pun kerap kali mengutuk orang lain.
23. Aku menggunakan hikmat untuk menguji segala hal itu. Aku bertekad untuk memperoleh hikmat, tetapi tidak dapat mencapainya.
24. Bagaimanakah seseorang dapat mengetahui makna hidup? Hal itu terlalu dalam dan terlalu susah untuk difahami.
25. Aku tekun belajar dan mencari pengetahuan supaya mendapat hikmat dan jawapan bagi pertanyaanku. Aku mencuba memahami bahawa kebodohan itu kejahatan dan kebebalan itu kegilaan.
26. Aku mendapati hal ini lebih pahit daripada maut: Seorang wanita yang menggunakan cinta sebagai jala atau perangkap untuk menangkap mangsa; pelukannya seperti belenggu yang mengikat dengan erat. Orang yang melakukan kehendak Allah dapat melepaskan diri, tetapi orang berdosa akan ditangkapnya.
27. Lihat, kata Si Pemikir: Aku mengetahui hal itu sedikit demi sedikit sedang aku mencari jawapannya.
28. Aku telah mencari jawapan lain juga, tetapi tidak berhasil. Antara seribu orang, aku menemui seorang lelaki yang dapat aku hormati, tetapi antara mereka tiada seorang wanita yang dapat aku hormati.
29. Hanya inilah yang telah kupelajari: Allah telah menjadikan kita jujur, tetapi kita sendiri yang berputar belit.