4. Aku berjaya dalam banyak hal. Aku membina rumah dan mengusahakan ladang anggur.
5. Aku mengusahakan taman dan kebun yang ditanami berbagai-bagai pokok buah-buahan.
6. Aku menggali parit untuk mengairi taman dan kebun itu.
7. Aku mempunyai banyak abdi, baik yang kubeli ataupun yang dilahirkan di rumahku. Aku memiliki lebih banyak ternakan daripada sesiapa yang pernah tinggal di Yerusalem.
8. Aku mengumpulkan emas dan perak daripada perbendaharaan negeri-negeri yang aku perintah. Biduan dan biduanita menyanyi untuk menghiburkan aku, dan aku mempunyai perempuan sebanyak yang kuingini.
9. Aku demikian agung, lebih agung daripada sesiapa yang pernah tinggal di Yerusalem, dan hikmatku sentiasa menolong aku.
10. Aku mendapat segala sesuatu yang aku mahu. Aku tidak pernah menahan diri daripada menikmati keseronokan. Aku bangga dengan segala yang telah kuusahakan. Segalanya itu ganjaranku.
11. Kemudian aku merenungkan segala yang telah kulakukan, dan betapa kuat aku telah mengusahakannya. Lalu aku sedar bahawa segalanya tidak bermakna. Usahaku itu sia-sia seperti mengejar angin.
12. Seorang raja hanya dapat melakukan apa yang telah dilakukan oleh raja-raja yang sebelumnya.Lalu aku mula berfikir tentang hikmat, kebebalan, dan kebodohan.
13. Aku memang tahu, “Hikmat lebih baik daripada kebodohan, seperti cahaya lebih baik daripada kegelapan.
14. Orang bijak tahu ke mana mereka pergi, sedangkan orang bodoh tidak.” Tetapi aku tahu juga bahawa kesudahan mereka semua sama!
15. Aku berfikir, “Kesudahanku sama dengan kesudahan orang bodoh. Oleh itu, apakah untungnya jika aku bijak?” Lalu aku mengambil kesimpulan bahawa hikmat itu memang tidak berguna sama sekali.
16. Tidak seorang pun ingat akan orang bijak, ataupun orang bodoh. Pada masa yang akan datang mereka semua akan dilupakan. Semua orang mesti mati, baik yang bijak mahupun yang bodoh.
17. Oleh itu, hidup tidak bermakna bagiku, kerana semua yang telah kualami, memberikan aku kesusahan semata-mata. Semua itu sia-sia; aku telah mengejar angin sahaja.