Nehemia 12:33-35-47 Alkitab Berita Baik (BM)

8. Orang Lewi:Pemimpin lagu kesyukuran: Yesua, Binui, Kadmiel, Serebya, Yehuda, dan Matanya.

9. Anggota kumpulan penyanyi yang menyanyikan lagu jawapan: Bakbukya, Uni, dan orang Lewi yang lain.

33-35. Sekumpulan imam yang meniup trompet, berjalan di belakang mereka. Imam-imam itu ialah Azarya, Ezra, Mesulam, Yehuda, Benyamin, Semaya, dan Yeremia. Mereka diikuti oleh Zakharia anak Yonatan, cucu Semaya. (Beberapa orang antara nenek moyangnya ialah Matanya, Mikha, dan Zakur daripada puak Asaf.)

36. Dia diikuti oleh orang lain daripada puaknya, iaitu Semaya, Azareel, Milalai, Gilalai, Maai, Netaneel, Yehuda, dan Hanani. Mereka semua membawa alat-alat muzik, serupa dengan yang dimainkan oleh Raja Daud, hamba Allah itu. Imam Ezra, ahli Taurat itu, berjalan di hadapan perarakan ini.

37. Di pintu Gerbang Mata Air, mereka menaiki tangga yang menuju ke Kota Daud. Mereka melalui istana Daud lalu balik ke tembok di Pintu Gerbang Air, di bahagian timur kota itu.

38. Kumpulan penyanyi yang satu lagi, berarak di atas tembok itu dan menuju ke sebelah kiri. Aku mengikuti mereka bersama-sama separuh daripada rakyat. Kami berarak melalui Menara Perapian sampai ke Tembok Lebar.

39. Dari sana kami berarak melalui Pintu Gerbang Efraim, Pintu Gerbang Yesanah, Pintu Gerbang Ikan, Menara Hananeel, dan Menara Seratus, sampai ke Pintu Gerbang Domba. Perarakan kami berakhir dekat pintu gerbang Rumah TUHAN.

40. Kedua-dua kumpulan penyanyi itu sampai di kawasan Rumah TUHAN.Selain para pemimpin yang bersama-sama aku,

41. para imam yang berikut juga turut serta dalam kumpulanku: Elyakim, Maaseya, Minyamin, Mikha, Elyoenai, Zakharia, dan Hananya. Mereka semua meniup trompet.

42. Mereka diikuti oleh Maaseya, Semaya, Eleazar, Uzi, Yohanan, Malkia, Elam, dan Ezer. Para penyanyi yang dipimpin oleh Yizrahya menyanyi dengan nyaring.

43. Pada hari itu banyak korban dipersembahkan kepada Allah. Rakyat bergembira kerana Allah menyebabkan mereka bersukacita. Kaum wanita dan kanak-kanak juga ikut bersukaria, dan keriuhan mereka terdengar sampai jauh.

44. Pada masa itu, beberapa orang disuruh menjaga stor-stor bekalan di Rumah TUHAN. Bekalan itu termasuk persembahan persepuluhan dan biji-bijian serta buah-buahan yang mula-mula masak pada tiap-tiap tahun. Semua orang itu bertanggungjawab mengumpulkan sumbangan daripada peladang-peladang di sekitar kota untuk para imam dan orang Lewi, sebagaimana yang diperintahkan oleh Taurat. Segenap penduduk Yehuda menghargai para imam dan orang Lewi itu,

45. kerana mereka menjalankan upacara penyucian dan upacara-upacara lain yang telah diperintahkan Allah. Para pemuzik dan pengawal Rumah TUHAN pun menjalankan tugas mereka menurut peraturan Raja Daud dan putera baginda Salomo.

46. Sejak zaman Raja Daud dan pemuzik Asaf dahulu kala, para penyanyi telah menyanyikan lagu pujian dan lagu kesyukuran kepada Allah.

47. Pada zaman Zerubabel dan juga pada zaman Nehemia, seluruh rakyat Israel memberikan persembahan harian untuk mencukupi keperluan sehari-hari para penyanyi dan pengawal Rumah TUHAN. Rakyat memberikan persembahan yang dikhaskan bagi orang Lewi, dan orang Lewi pula memberikan bahagian yang dikhaskan bagi para imam.

Nehemia 12