Nehemia 12:27-43 Alkitab Berita Baik (BM)

27. Apabila tembok kota Yerusalem dirasmikan, orang Lewi dipanggil ke sana dari semua tempat tinggal mereka, supaya mereka dapat mengambil bahagian dalam perasmian itu dengan menyanyikan lagu kesyukuran, diiringi muzik gambus dan kecapi.

28. Para penyanyi daripada keluarga-keluarga orang Lewi datang dari daerah tempat tinggal mereka di sekitar Yerusalem dan dari pekan-pekan di sekitar Netofa,

29. dari Bet-Gilgal, Geba, dan Asmawet.

30. Para imam dan orang Lewi menjalankan upacara penyucian bagi diri mereka sendiri, kemudian bagi rakyat, dan juga bagi pintu-pintu gerbang dan tembok kota.

31. Aku mengumpulkan para pemimpin Yehuda di atas tembok dan menugaskan mereka memimpin dua kumpulan besar untuk berjalan mengelilingi kota itu, sambil menyanyikan lagu kesyukuran kepada Allah.Kumpulan yang pertama berarak ke sebelah kanan di atas tembok itu, ke arah Pintu Gerbang Sampah.

32. Hosaya berjalan di belakang para penyanyi, diikuti oleh separuh daripada para pemimpin Yehuda.

33-35. Sekumpulan imam yang meniup trompet, berjalan di belakang mereka. Imam-imam itu ialah Azarya, Ezra, Mesulam, Yehuda, Benyamin, Semaya, dan Yeremia. Mereka diikuti oleh Zakharia anak Yonatan, cucu Semaya. (Beberapa orang antara nenek moyangnya ialah Matanya, Mikha, dan Zakur daripada puak Asaf.)

36. Dia diikuti oleh orang lain daripada puaknya, iaitu Semaya, Azareel, Milalai, Gilalai, Maai, Netaneel, Yehuda, dan Hanani. Mereka semua membawa alat-alat muzik, serupa dengan yang dimainkan oleh Raja Daud, hamba Allah itu. Imam Ezra, ahli Taurat itu, berjalan di hadapan perarakan ini.

37. Di pintu Gerbang Mata Air, mereka menaiki tangga yang menuju ke Kota Daud. Mereka melalui istana Daud lalu balik ke tembok di Pintu Gerbang Air, di bahagian timur kota itu.

38. Kumpulan penyanyi yang satu lagi, berarak di atas tembok itu dan menuju ke sebelah kiri. Aku mengikuti mereka bersama-sama separuh daripada rakyat. Kami berarak melalui Menara Perapian sampai ke Tembok Lebar.

39. Dari sana kami berarak melalui Pintu Gerbang Efraim, Pintu Gerbang Yesanah, Pintu Gerbang Ikan, Menara Hananeel, dan Menara Seratus, sampai ke Pintu Gerbang Domba. Perarakan kami berakhir dekat pintu gerbang Rumah TUHAN.

40. Kedua-dua kumpulan penyanyi itu sampai di kawasan Rumah TUHAN.Selain para pemimpin yang bersama-sama aku,

41. para imam yang berikut juga turut serta dalam kumpulanku: Elyakim, Maaseya, Minyamin, Mikha, Elyoenai, Zakharia, dan Hananya. Mereka semua meniup trompet.

42. Mereka diikuti oleh Maaseya, Semaya, Eleazar, Uzi, Yohanan, Malkia, Elam, dan Ezer. Para penyanyi yang dipimpin oleh Yizrahya menyanyi dengan nyaring.

43. Pada hari itu banyak korban dipersembahkan kepada Allah. Rakyat bergembira kerana Allah menyebabkan mereka bersukacita. Kaum wanita dan kanak-kanak juga ikut bersukaria, dan keriuhan mereka terdengar sampai jauh.

Nehemia 12