Nehemia 12:22-37 Alkitab Berita Baik (BM)

22. Senarai nama ketua-ketua keluarga imam dan orang Lewi dibuat pada zaman Imam Agung yang berikut: Elyasib, Yoyada, Yohanan, dan Yadua. Senarai itu selesai dibuat ketika Darius menjadi raja Persia.

23. Tetapi senarai nama ketua-ketua puak orang Lewi dicatat hanya sampai zaman Yonatan cucu Elyasib.

24. Di bawah pengawasan Hasabya, Serebya, Yesua, Binui, dan Kadmiel, orang Lewi dibahagi menjadi beberapa kumpulan. Setiap kali, ada dua kumpulan yang bertugas memuji Allah dan memberikan syukur kepada-Nya secara berbalas-balasan, menurut peraturan yang diberikan oleh Raja Daud, hamba Allah.

25. Para pengawal Rumah TUHAN yang ditugaskan untuk mengawal stor-stor bekalan dekat pintu gerbang Rumah TUHAN ialah Matanya, Bakbukya, Obaja, Mesulam, Talmon, dan Akub.

26. Semua orang itu hidup pada zaman Yoyakim anak Yesua, cucu Yozadak, dan pada zaman Gabenor Nehemia dan Imam Ezra, ahli Taurat itu.

27. Apabila tembok kota Yerusalem dirasmikan, orang Lewi dipanggil ke sana dari semua tempat tinggal mereka, supaya mereka dapat mengambil bahagian dalam perasmian itu dengan menyanyikan lagu kesyukuran, diiringi muzik gambus dan kecapi.

28. Para penyanyi daripada keluarga-keluarga orang Lewi datang dari daerah tempat tinggal mereka di sekitar Yerusalem dan dari pekan-pekan di sekitar Netofa,

29. dari Bet-Gilgal, Geba, dan Asmawet.

30. Para imam dan orang Lewi menjalankan upacara penyucian bagi diri mereka sendiri, kemudian bagi rakyat, dan juga bagi pintu-pintu gerbang dan tembok kota.

31. Aku mengumpulkan para pemimpin Yehuda di atas tembok dan menugaskan mereka memimpin dua kumpulan besar untuk berjalan mengelilingi kota itu, sambil menyanyikan lagu kesyukuran kepada Allah.Kumpulan yang pertama berarak ke sebelah kanan di atas tembok itu, ke arah Pintu Gerbang Sampah.

32. Hosaya berjalan di belakang para penyanyi, diikuti oleh separuh daripada para pemimpin Yehuda.

33-35. Sekumpulan imam yang meniup trompet, berjalan di belakang mereka. Imam-imam itu ialah Azarya, Ezra, Mesulam, Yehuda, Benyamin, Semaya, dan Yeremia. Mereka diikuti oleh Zakharia anak Yonatan, cucu Semaya. (Beberapa orang antara nenek moyangnya ialah Matanya, Mikha, dan Zakur daripada puak Asaf.)

36. Dia diikuti oleh orang lain daripada puaknya, iaitu Semaya, Azareel, Milalai, Gilalai, Maai, Netaneel, Yehuda, dan Hanani. Mereka semua membawa alat-alat muzik, serupa dengan yang dimainkan oleh Raja Daud, hamba Allah itu. Imam Ezra, ahli Taurat itu, berjalan di hadapan perarakan ini.

37. Di pintu Gerbang Mata Air, mereka menaiki tangga yang menuju ke Kota Daud. Mereka melalui istana Daud lalu balik ke tembok di Pintu Gerbang Air, di bahagian timur kota itu.

Nehemia 12