Mikha 5:1-7 Alkitab Berita Baik (BM)

1. TUHAN berfirman, “Hai Betlehem Efrata, engkaulah salah satu kota yang terkecil di negeri Yehuda, tetapi daripadamu Aku akan memberi Israel seorang penguasa; asal usul nenek moyangnya bermula dari zaman purba.”

2. Oleh itu TUHAN akan membiarkan umat-Nya dikuasai musuh sehingga wanita yang akan bersalin itu melahirkan anak lelakinya. Selepas itu orang dalam pembuangan akan berkumpul semula dengan sesama bangsa mereka.

3. Apabila penguasa itu tiba, dia akan memerintah rakyatnya dengan kekuatan daripada TUHAN, dan dengan keagungan TUHAN, Allah sendiri. Rakyatnya akan hidup aman kerana semua bangsa di bumi akan mengakui kebesarannya,

4. dan dia akan mendatangkan keamanan.Apabila orang Asyur menyerang negeri kita dan menembusi pertahanan kita, kita akan mengutus pemimpin-pemimpin yang paling kuat untuk melawan mereka.

5. Dengan kekuatan senjata, mereka akan mengalahkan Asyur, tanah Nimrod, dan mereka akan menyelamatkan kita daripada serangan orang Asyur apabila mereka menyerang wilayah kita.

6. Umat Israel yang masih hidup akan menjadi seperti embun yang menyegarkan, yang dikirim oleh TUHAN kepada banyak bangsa; mereka bagaikan titisan hujan pada tanaman. Mereka akan bersandar kepada Allah dan bukan kepada manusia.

7. Mereka yang masih hidup antara bangsa-bangsa lain akan menjadi seperti singa yang sedang mencari makanan di hutan atau di padang rumput; singa masuk ke tengah-tengah kawanan domba, menerkam serta mencabik-cabikkan domba; tiada sesiapa pun dapat menyelamatkan domba-domba itu.

Mikha 5