Matius 9:15-27 Alkitab Berita Baik (BM)

15. Yesus menjawab, “Adakah kamu berharap tetamu di jamuan perkahwinan berdukacita selama pengantin lelaki bersama-sama mereka? Tentu tidak! Tetapi akan tiba masanya pengantin lelaki itu akan diambil daripada mereka. Pada masa itulah mereka berpuasa.

16. Tidak ada orang menampal pakaian lama dengan seperca kain baru, kerana tampalan itu akan mengecut lalu mengakibatkan koyakan yang lebih besar.

17. Demikian juga tidak ada orang menuang wain baru ke dalam kirbat kulit yang lama. Jika dia berbuat demikian, kirbat itu akan pecah dan rosak, lalu wain itu akan terbuang. Wain baru harus dituang ke dalam kirbat kulit yang baru juga, supaya kedua-duanya tetap baik.”

18. Sementara Yesus berkata-kata dengan para pengikut Yohanes Pembaptis, seorang ketua rumah ibadat datang berlutut di hadapan-Nya dan berkata, “Anak perempuan saya baru sahaja meninggal. Tetapi datanglah dan letakkan tangan padanya supaya dia hidup semula.”

19. Yesus bangkit lalu pergi bersama dengan dia. Pengikut-pengikut Yesus pun ikut serta.

20. Kemudian seorang wanita yang selama dua belas tahun menghidap penyakit pendarahan teruk yang berkaitan dengan haidnya, menghampiri Yesus dari belakang lalu menyentuh hujung jubah-Nya.

21. Wanita itu berkata dalam hati, “Asal sahaja aku menyentuh jubah-Nya, tentu aku akan sembuh.”

22. Yesus berpaling dan nampak dia. Yesus berkata kepadanya, “Teguhkanlah hatimu, anak-Ku! Kerana kamu percaya kepada-Ku, kamu sembuh!” Pada ketika itu juga wanita itu sembuh.

23. Apabila Yesus tiba di rumah ketua itu, Dia melihat para pemain muzik perkabungan dan semua orang di situ kecoh.

24. Dia berkata, “Keluarlah kamu semua! Anak ini tidak mati; dia hanya tidur.”Mereka mula mentertawakan Yesus.

25. Tetapi sebaik sahaja mereka keluar, Yesus masuk ke dalam bilik anak perempuan itu lalu memegang tangannya. Anak itu pun bangkit.

26. Berita ini tersebar ke seluruh daerah itu.

27. Yesus meninggalkan tempat itu. Ketika Dia sedang berjalan, dua orang buta mula mengikut Dia. Mereka berseru, “Hai Anak Daud, kasihanilah kami.”

Matius 9