Matius 26:10-29 Alkitab Berita Baik (BM)

10. Yesus mengetahui apa yang dikatakan mereka, lalu Dia berkata kepada mereka, “Mengapa kamu menyusahkan wanita ini? Apa yang telah dilakukannya untuk-Ku itu baik dan terpuji.

11. Orang miskin sentiasa ada di kalangan kamu, tetapi Aku tidak selamanya bersama-sama kamu.

12. Wanita ini menuangi Aku dengan minyak wangi, dan dengan perbuatan itu dia mempersiapkan tubuh-Ku bagi penguburan-Ku.

13. Ingatlah! Di seluruh dunia, di mana sahaja Berita Baik dikhabarkan, perbuatan wanita ini akan diceritakan untuk mengenang dia.”

14. Kemudian seorang daripada dua belas orang pengikut Yesus, yang bernama Yudas Iskariot, pergi kepada para ketua imam.

15. Dia berkata, “Apakah yang akan kamu berikan kepadaku jika aku menyerahkan Yesus kepada kamu?” Mereka mengira tiga puluh keping wang perak lalu menyerahkan wang itu kepadanya.

16. Sejak itu Yudas mencari peluang baik untuk mengkhianati Yesus.

17. Pada hari pertama Perayaan Roti Tidak Beragi, pengikut-pengikut Yesus datang kepada-Nya dan bertanya, “Di manakah Guru ingin kami sediakan jamuan Paska untuk Guru?”

18. Yesus menjawab, “Pergilah berjumpa dengan seorang di bandar. Katakan kepadanya, ‘Guru berkata, saat-Nya sudah hampir tiba; Dia hendak merayakan Paska di rumahmu bersama dengan pengikut-pengikut-Nya.’ ”

19. Pengikut-pengikut-Nya melakukan suruhan Yesus dan menyiapkan jamuan Paska itu.

20. Apabila malam tiba, Yesus dan dua belas orang pengikut-Nya mula makan.

21. Sementara mereka makan, Yesus berkata, “Ketahuilah, seorang daripada kamu akan mengkhianati Aku.”

22. Pengikut-pengikut-Nya sangat sedih. Seorang demi seorang mula bertanya kepada Yesus, “Tentu bukan aku yang Tuhan maksudkan?”

23. Yesus menjawab, “Orang yang ikut mencelup roti ke dalam mangkuk dengan Aku, dialah yang akan mengkhianati Aku.

24. Memang Anak Manusia akan mati seperti yang tertulis di dalam Alkitab, tetapi alangkah malangnya orang yang mengkhianati Anak Manusia! Lebih baik jika orang itu tidak pernah dilahirkan!”

25. Lalu Yudas, pengkhianat itu berkata, “Tentu bukan saya yang guru maksudkan?”Yesus menjawab, “Demikianlah katamu!”

26. Sementara mereka makan, Yesus mengambil roti dan mengucap syukur, lalu membahagikan roti itu. Kemudian Dia memberikan roti itu kepada pengikut-pengikut-Nya sambil berkata, “Ambillah roti ini dan makanlah; ini tubuh-Ku.”

27. Kemudian Dia mengambil sebuah cawan berisi wain. Dia mengucap syukur kepada Allah, lalu memberikan cawan itu kepada pengikut-pengikut-Nya sambil berkata, “Minumlah, kamu semua.

28. Inilah darah-Ku yang mengesahkan perjanjian yang dibuat oleh Allah dengan umat-Nya; darah-Ku yang dicurahkan bagi banyak orang supaya dosa mereka diampunkan.

29. Percayalah, Aku tidak akan minum wain ini lagi sehingga hari itu apabila Aku minum wain baru bersama-sama kamu di Dunia Baru Bapa-Ku.”

Matius 26