Matius 25:21-33 Alkitab Berita Baik (BM)

21. ‘Bagus,’ kata tuan itu, ‘kamu hamba yang baik dan setia. Oleh sebab kamu dapat dipercayakan dengan yang sedikit, aku akan mempercayakan yang lebih banyak kepadamu. Masuklah dan bersukacitalah bersama-sama tuanmu!’

22. Lalu hamba yang menerima dua ribu keping wang emas datang dan berkata, ‘Tuan menyerahkan dua ribu keping wang emas kepada saya. Lihatlah, saya berhasil mendapat keuntungan sebanyak dua ribu keping lagi.’

23. ‘Bagus,’ kata tuan itu, ‘kamu hamba yang baik dan setia. Oleh sebab kamu dapat dipercayakan dengan yang sedikit, aku akan mempercayakan yang lebih banyak kepadamu. Masuklah dan bersukacitalah bersama-sama tuanmu!’

24. Kemudian hamba yang menerima seribu keping wang emas datang dan berkata, ‘Tuan, hamba tahu bahawa tuan seorang yang keras. Tuan menuai tuaian di tempat yang tidak tuan tanami, dan tuan memungut hasil di tempat yang tidak tuan taburi dengan benih.

25. Hamba takut, maka hamba pergi menyembunyikan wang tuan di dalam tanah. Inilah milik tuan.’

26. ‘Kamu hamba yang jahat dan malas!’ kata tuan itu. ‘Tidakkah kamu tahu, bahawa aku menuai tuaian di tempat yang tidak aku tanami, dan memungut hasil di tempat yang tidak aku taburi dengan benih?

27. Jika demikian, seharusnya kamu simpan wangku di bank, supaya apabila aku balik, aku dapat menerima wangku kembali dengan faedahnya.’

28. Kemudian tuan itu berkata kepada hamba yang lain, ‘Ambil wang itu daripadanya, dan berikan kepada orang yang mempunyai sepuluh ribu keping wang emas.

29. Setiap orang yang mempunyai sesuatu akan diberikan lebih banyak lagi supaya dia beroleh lebih daripada cukup. Tetapi seorang yang tidak mempunyai apa-apa, sedikit yang ada padanya akan diambil juga.

30. Tentang hamba yang tidak berguna ini, buanglah dia ke luar ke tempat yang gelap. Di sana dia akan menangis dan menderita!’ ”

31. “Apabila Anak Manusia datang sebagai Raja dengan semua malaikat Allah, Dia akan duduk di atas takhta-Nya yang mulia.

32. Umat manusia di bumi ini akan dikumpulkan di hadapan-Nya. Kemudian Dia akan memisahkan mereka menjadi dua kumpulan, seperti gembala memisahkan domba daripada kambing.

33. Anak Manusia akan mengumpulkan orang yang melakukan kehendak Allah di sebelah kanan-Nya dan yang lain di sebelah kiri-Nya.

Matius 25