2. Lima orang daripada mereka kurang bijak, tetapi lima orang yang lain bijak.
3. Lima orang gadis yang kurang bijak membawa pelita, tetapi tidak membawa minyak tambahan.
4. Lima orang gadis yang bijak membawa pelita dan juga bekas yang penuh dengan minyak.
5. Pengantin lelaki itu lambat datang, maka mengantuklah semua gadis itu lalu tertidur.
6. Pada tengah malam, terdengar suara orang berseru, ‘Pengantin lelaki datang! Mari, sambutlah dia!’
7. Sepuluh orang gadis itu bangun lalu memasang pelita.
8. Lima orang gadis yang kurang bijak berkata kepada yang bijak, ‘Berilah kami sedikit minyak, kerana pelita kami hampir padam.’
9. ‘Tidak boleh!’ kata gadis-gadis yang bijak itu. ‘Minyak tidak cukup untuk kita semua. Pergilah ke kedai dan belilah minyak.’
10. Oleh itu lima orang gadis yang kurang bijak itu pergi membeli minyak. Sementara mereka pergi, pengantin lelaki tiba. Kelima-lima orang gadis yang sudah siap itu masuk bersama-sama pengantin lelaki ke balai perjamuan, dan pintu pun ditutup.
11. Kemudian gadis-gadis yang lain itu tiba. ‘Tuan, tuan,’ seru mereka, ‘bukalah pintu untuk kami.’
12. Tetapi pengantin lelaki itu menjawab, ‘Aku tidak kenal kamu!’ ”
13. Yesus mengakhiri perumpamaan-Nya dengan mengatakan, “Oleh itu, berjaga-jagalah kerana kamu tidak tahu hari ataupun waktunya.”
14. “Pada masa itu Pemerintahan Allah seperti perumpamaan berikut. Seorang lelaki hendak berangkat ke luar negeri. Dia memanggil hamba-hambanya lalu mempercayakan hartanya kepada mereka.
15. Setiap orang hamba diberikannya bahagian menurut kebolehan masing-masing. Yang seorang diberikannya lima ribu keping wang emas, yang lain diberikannya dua ribu keping, dan yang seorang lagi diberikannya seribu keping. Lalu orang itu pun berangkat.
16. Hamba yang menerima lima ribu keping wang emas segera pergi berniaga, lalu mendapat keuntungan sebanyak lima ribu keping wang emas.
17. Hamba yang menerima dua ribu keping wang emas, juga mendapat keuntungan sebanyak dua ribu keping wang emas.
18. Tetapi hamba yang menerima seribu keping wang emas pergi menggali lubang di tanah, lalu menyembunyikan wang tuannya.
19. Lama kemudian, tuan hamba-hamba itu pulang lalu menyuruh mereka memberikan laporan tentang apa yang dilakukan dengan wangnya.
20. Hamba yang menerima lima ribu keping wang emas datang dan menyerahkan sepuluh ribu keping wang emas. Dia berkata, ‘Tuan menyerahkan lima ribu keping wang emas kepada saya. Lihatlah, saya berhasil mendapat keuntungan sebanyak lima ribu keping lagi.’
21. ‘Bagus,’ kata tuan itu, ‘kamu hamba yang baik dan setia. Oleh sebab kamu dapat dipercayakan dengan yang sedikit, aku akan mempercayakan yang lebih banyak kepadamu. Masuklah dan bersukacitalah bersama-sama tuanmu!’
22. Lalu hamba yang menerima dua ribu keping wang emas datang dan berkata, ‘Tuan menyerahkan dua ribu keping wang emas kepada saya. Lihatlah, saya berhasil mendapat keuntungan sebanyak dua ribu keping lagi.’