4. Yesus menjawab, “Berjaga-jagalah supaya kamu tidak tertipu.
5. Banyak orang akan datang dengan nama-Ku dan berkata, ‘Aku Penyelamat yang diutus oleh Allah!’ Mereka akan menipu banyak orang.
6. Kamu akan mendengar riuh pertempuran dan berita peperangan, tetapi janganlah takut. Semua perkara ini mesti berlaku, tetapi hal itu tidak bererti bahawa akhir zaman telah tiba.
7. Satu bangsa akan berperang melawan bangsa yang lain. Satu kerajaan akan menyerang kerajaan yang lain. Di mana-mana akan berlaku kebuluran dan gempa bumi.
8. Semuanya ini hanya permulaan sahaja, sama seperti sakit yang dialami oleh wanita yang akan bersalin.
9. Kemudian kamu akan ditangkap dan diserahkan untuk diseksa dan dibunuh. Semua orang akan membenci kamu kerana kamu pengikut-Ku.
10. Pada masa itu banyak antara pengikut-Ku yang tidak lagi percaya kepada-Ku. Mereka akan saling mengkhianati dan saling membenci.
11. Lalu banyak nabi palsu akan muncul dan menipu banyak orang.
12. Kejahatan semakin merebak sehingga kasih kebanyakan orang hampir lenyap.
13. Tetapi sesiapa yang bertahan sehingga akhir akan diselamatkan.
14. Berita Baik tentang bagaimana Allah memerintah akan dikhabarkan ke seluruh dunia supaya semua orang mendengarnya. Setelah itu barulah tiba akhir zaman.”
15. “Kamu akan melihat ‘Bencana yang Dahsyat’ yang dikatakan oleh Nabi Daniel, di tempat yang suci itu. (Catatan kepada pembaca: Hendaklah kamu faham apa maknanya!)
16. Lalu mereka yang di Yudea mesti lari ke pergunungan.
17. Orang yang di bumbung rumah janganlah turun dan masuk ke rumah untuk mengambil sesuatu.
18. Orang yang di ladang janganlah balik untuk mengambil jubah.