13. “Alangkah malangnya kamu, guru Taurat dan orang Farisi! Kamu munafik! Kamu menghalang orang menikmati Pemerintahan Allah. Bukan sahaja kamu tidak mahu menikmati Pemerintahan Allah, bahkan kamu menghalang orang yang berusaha menikmatinya.[
14. Alangkah malangnya kamu, guru Taurat dan orang Farisi! Kamu munafik! Kamu memperdaya balu dan merampas rumah mereka, kemudian pura-pura berdoa dengan berpanjangan. Oleh itu, kamu akan menerima hukuman yang berat!]
15. Alangkah malangnya kamu, guru Taurat dan orang Farisi! Kamu munafik! Kamu menyeberangi lautan dan menjelajah daratan untuk menjadikan seorang pemeluk agama kamu. Tetapi setelah kamu berjaya, kamu menjadikan dia layak menerima hukuman di neraka yang dua kali banyaknya seperti kamu sendiri!
16. Alangkah malangnya kamu pemimpin buta! Kamu mengajarkan hal ini, ‘Jika seseorang bersumpah demi Rumah Tuhan, orang itu tidak terikat pada sumpahnya. Tetapi jika dia bersumpah demi emas di dalam Rumah Tuhan, dia terikat pada sumpahnya.’
17. Kamu orang bodoh yang buta! Manakah yang lebih mustahak: Emas atau Rumah Tuhan yang menjadikan emas itu suci?
18. Kamu juga mengajarkan ini, ‘Jika seseorang bersumpah demi mazbah, orang itu tidak terikat pada sumpahnya, tetapi jika dia bersumpah demi persembahan di atas mazbah itu, dia terikat pada sumpahnya.’
19. Alangkah butanya kamu! Manakah yang lebih mustahak? Persembahan itu atau mazbah yang menjadikan persembahan itu suci?
20. Oleh itu, apabila seseorang bersumpah demi mazbah, dia bersumpah demi mazbah itu dan demi segala persembahan di atasnya.
21. Apabila seseorang bersumpah demi Rumah Tuhan, dia bersumpah demi Rumah itu dan demi Allah yang tinggal di situ.
22. Apabila seseorang bersumpah demi syurga, dia bersumpah demi takhta Allah dan demi Allah yang duduk di takhta itu.
23. Alangkah malangnya kamu guru Taurat dan orang Farisi! Kamu munafik! Kamu memberikan sepersepuluh daripada berbagai-bagai jenis rempah seperti selasih, adas manis, dan jintan kepada Allah. Tetapi kamu tidak mentaati ajaran Taurat yang betul-betul mustahak seperti keadilan, belas kasihan, dan kesetiaan. Semua perkara ini harus kamu lakukan, tanpa melalaikan ajaran yang lain.
24. Hai pemimpin buta! Lalat di dalam minuman kamu tapis, tetapi unta kamu telan.
25. Alangkah malangnya kamu guru Taurat dan orang Farisi! Kamu munafik! Kamu membersihkan bahagian luar cawan dan pinggan, tetapi bahagian dalamnya penuh dengan apa yang kamu peroleh dengan kekerasan dan ketamakan.