Matius 21:29-46 Alkitab Berita Baik (BM)

29. Anaknya menjawab, ‘Saya tidak mahu,’ tetapi kemudian anak itu mengubah fikirannya lalu pergi ke ladang anggur itu.

30. Kemudian bapa itu pergi kepada anaknya yang kedua, dan mengatakan hal yang sama. ‘Baiklah ayah,’ jawab anaknya yang kedua. Tetapi dia tidak pergi.

31. Yang manakah antara kedua-dua orang anak itu melakukan kehendak bapanya?”“Anak yang sulung,” jawab mereka.Oleh itu Yesus berkata kepada mereka, “Ketahuilah! Pemungut cukai dan pelacur akan menikmati Pemerintahan Allah lebih dahulu daripada kamu.

32. Yohanes Pembaptis datang kepada kamu dan menunjukkan cara hidup yang dikehendaki oleh Allah, tetapi kamu tidak mahu percaya kepada ajarannya. Sebaliknya pemungut cukai dan pelacur percaya kepada ajarannya. Meskipun kamu telah melihat pemungut cukai dan pelacur berbuat demikian, kamu tidak mahu mengubah fikiran dan percaya kepada ajarannya.”

33. “Dengarlah sebuah perumpamaan lain,” kata Yesus. “Seorang pemilik tanah mempunyai ladang anggur. Dia memasang pagar di sekelilingnya, menggali lubang tempat memeras buah anggur, dan mendirikan menara tempat berkawal. Kemudian dia menyewakan ladang anggur itu kepada beberapa orang, lalu dia berangkat ke negeri lain.

34. Apabila tiba masanya untuk mengumpulkan buah anggur, pemilik ladang itu mengutus hamba-hambanya kepada penyewa-penyewa ladang itu untuk menerima hasil bahagiannya.

35. Tetapi penyewa-penyewa ladang itu menangkap hamba-hamba pemilik ladang itu; ada yang dipukul, ada yang dibunuh, dan ada lagi yang direjam.

36. Sekali lagi pemilik ladang itu mengutus hamba-hamba lain, lebih banyak daripada yang dahulu. Tetapi hamba-hamba itu juga menerima perlakuan yang sama.

37. Akhirnya pemilik ladang itu mengutus anaknya kepada mereka. Dia berkata dalam hati, ‘Tentu mereka akan menghormati anakku.’

38. Tetapi apabila penyewa-penyewa ladang itu nampak anak pemilik ladang itu, mereka berkata sesama sendiri, ‘Ini dia anak pemilik ladang. Marilah kita bunuh dia, supaya kita dapat hartanya!’

39. Oleh itu mereka menangkap anak itu, membuang dia ke luar ladang, dan membunuh dia.”

40. Kemudian Yesus bertanya, “Apabila pemilik ladang anggur itu kembali, apakah yang akan dilakukannya kepada penyewa-penyewa ladang itu?”

41. Mereka menjawab, “Tentu dia akan membunuh semua orang jahat itu, lalu menyewakan ladang anggur itu kepada penyewa-penyewa lain yang mahu memberikan hasil bahagiannya pada musim anggur.”

42. Yesus berkata kepada mereka, “Belum pernahkah kamu baca apa yang tertulis di dalam Alkitab?‘Batu yang dibuang oleh pembina bangunantelah menjadi batu yang paling utama.Inilah perbuatan Tuhan;alangkah indahnya!’ ”

43. Yesus berkata lagi, “Ketahuilah! Hak untuk menikmati Pemerintahan Allah akan diambil daripada kamu, lalu diserahkan kepada orang yang memberikan hasil yang dikehendaki oleh Allah.” [

44. Sesiapa yang jatuh pada batu itu akan hancur; dan sesiapa yang ditimpa batu itu akan tergilas menjadi debu.]

45. Ketua imam dan orang Farisi mendengar perumpamaan-perumpamaan Yesus, dan mereka tahu bahawa Yesus berkata-kata tentang mereka.

46. Oleh itu mereka cuba menangkap Yesus. Tetapi mereka takut akan orang ramai, yang menganggap Yesus sebagai nabi.

Matius 21