Matius 21:10-29 Alkitab Berita Baik (BM)

10. Apabila Yesus masuk ke Yerusalem, seluruh kota menjadi gempar. Orang bertanya, “Siapakah dia?”

11. “Dia Yesus, nabi dari Nasaret di Galilea,” jawab orang ramai yang mengiringi Yesus.

12. Yesus masuk ke Rumah Tuhan, lalu mengusir semua orang yang berjual beli di situ. Dia menunggangbalikkan meja para penukar wang dan bangku para penjual burung merpati.

13. Yesus berkata kepada mereka, “Di dalam Alkitab tertulis bahawa Allah berfirman, ‘Rumah-Ku akan disebut rumah tempat berdoa.’ Tetapi kamu menjadikannya tempat persembunyian perompak!”

14. Orang buta dan orang tempang datang kepada Yesus di Rumah Tuhan dan Yesus menyembuhkan mereka.

15. Ketua imam dan guru Taurat marah apabila mereka melihat mukjizat-mukjizat yang dilakukan oleh Yesus. Mereka marah juga apabila mendengar anak-anak berseru-seru di Rumah Tuhan, “Pujilah Anak Daud!”

16. Mereka berkata kepada Yesus, “Adakah kamu mendengar apa yang dikatakan oleh mereka?” “Tentu sahaja,” jawab Yesus. “Belum pernahkah kamu baca ayat Alkitab berikut, ‘Ya Allah, Engkau telah mengajar anak-anak dan bayi mengucapkan pujian yang sempurna.’ ”

17. Yesus meninggalkan mereka, lalu keluar dari kota itu dan pergi ke Betania. Dia bermalam di situ.

18. Keesokan paginya, dalam perjalanan kembali ke kota, Yesus lapar.

19. Dia melihat sebatang pokok ara di pinggir jalan. Dia menghampiri pokok itu, tetapi tidak mendapati satu buah ara pun. Dia mendapati daun sahaja. Yesus berkata kepada pokok itu, “Hai pokok, engkau tidak akan berbuah lagi!” Dengan segera pokok ara itu layu.

20. Apabila pengikut-pengikut Yesus nampak kejadian itu, mereka hairan. Mereka bertanya, “Bagaimanakah pokok ara itu layu dengan serta-merta?”

21. “Ketahuilah,” jawab Yesus, “jika kamu percaya kepada Allah dan tidak ragu-ragu, kamu akan dapat melakukan apa yang telah Aku lakukan terhadap pokok ara ini. Bukan itu sahaja, bahkan kamu akan dapat berkata kepada bukit ini, ‘Terangkatlah dan terbuanglah ke dalam laut!’ Hal itu pun akan berlaku.

22. Apabila kamu berdoa dan percaya bahawa Allah akan melakukan apa yang kamu minta, maka Dia akan melakukannya.”

23. Yesus kembali ke Rumah Tuhan. Semasa Dia mengajar, ketua imam dan pemimpin masyarakat Yahudi datang kepada-Nya dan bertanya, “Dengan hak siapakah kamu melakukan perkara-perkara ini? Siapakah yang memberikan hak ini kepadamu?”

24. Yesus menjawab, “Aku akan bertanya satu soalan sahaja. Jika kamu menjawabnya, Aku akan memberitahu kamu dengan hak siapa Aku melakukan perkara-perkara ini.

25. Dengan hak siapa Yohanes membaptis orang? Dengan hak Allah atau manusia?”Mereka mula berbincang sesama sendiri, “Apakah yang akan kita katakan? Jika kita menjawab, ‘Dengan hak Allah,’ Dia akan berkata, ‘Mengapakah kamu tidak percaya kepada Yohanes?’

26. Tetapi jika kita berkata, ‘Dengan hak manusia,’ kita takut akan apa yang mungkin dilakukan orang ramai, kerana mereka semua yakin bahawa Yohanes seorang nabi.”

27. Oleh itu, mereka menjawab, “Kami tidak tahu.”Yesus berkata kepada mereka, “Jika demikian Aku pun tidak mahu memberitahu kamu dengan hak siapa Aku melakukan perkara-perkara ini.”

28. “Sekarang bagaimana pendapat kamu?” kata Yesus selanjutnya. “Ada seorang bapa yang mempunyai dua orang anak lelaki. Dia pergi kepada anaknya yang sulung dan berkata, ‘Pergilah bekerja di ladang anggur hari ini.’

29. Anaknya menjawab, ‘Saya tidak mahu,’ tetapi kemudian anak itu mengubah fikirannya lalu pergi ke ladang anggur itu.

Matius 21