7. Orang Farisi di situ bertanya kepada Yesus, “Jika demikian, mengapa Musa memberikan hukum yang membenarkan seseorang menceraikan isterinya asal menulis surat cerai?”
8. Yesus menjawab, “Musa membenarkan kamu menceraikan isteri kerana kamu terlalu sukar diajar. Tetapi sebenarnya bukanlah demikian pada mulanya.
9. Ketahuilah, sesiapa menceraikan isterinya, kecuali kerana perzinaan, orang itu berzina jika dia berkahwin lagi dengan wanita lain.”
10. Pengikut-pengikut Yesus berkata kepada-Nya, “Jika demikian halnya dengan kehidupan suami isteri, lebih baik tidak berkahwin.”
11. Yesus menjawab, “Tidak semua orang dapat menerima ajaran ini, hanya mereka yang sudah dikurniai oleh Allah kemampuan untuk menerimanya.
12. Banyak sebabnya mengapa orang tidak berkahwin: Ada yang dilahirkan demikian, ada yang dijadikan mandul, dan ada pula yang tidak berkahwin supaya dapat mengabdikan diri kepada Allah. Biarlah orang yang sanggup menerima ajaran ini, berbuat demikian.”
13. Beberapa orang membawa kanak-kanak kepada Yesus supaya Yesus meletakkan tangan-Nya pada kepala kanak-kanak itu dan mendoakan mereka. Tetapi pengikut-pengikut Yesus memarahi orang yang membawa semua kanak-kanak itu.
14. Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, “Biarlah kanak-kanak itu datang kepada-Ku! Jangan larang mereka, kerana orang seperti inilah yang menikmati Pemerintahan Allah.”
15. Yesus meletakkan tangan-Nya pada kepala semua kanak-kanak itu. Kemudian Dia pergi.
16. Pada suatu hari seorang lelaki datang kepada Yesus. Dia bertanya, “Guru, perbuatan baik apakah yang harus saya lakukan supaya beroleh hidup sejati dan kekal?”
17. Yesus menjawab, “Mengapakah kamu bertanya kepada-Ku tentang apa yang baik? Hanya Allah yang baik. Taatilah hukum Allah jika kamu hendak beroleh hidup sejati dan kekal.”
18. “Hukum yang mana?” tanya orang itu.Yesus menjawab, “Jangan membunuh; jangan berzina; jangan mencuri; jangan berikan kesaksian palsu;
19. hormatilah ibu bapamu; dan kasihilah sesama manusia seperti kamu mengasihi dirimu sendiri.”
20. “Semua hukum ini sudah saya taati,” jawab orang muda itu. “Adakah lagi yang harus saya lakukan?”
21. Yesus berkata kepadanya, “Jika kamu hendak menjadi sempurna, pergilah jual segala sesuatu yang kamu miliki, dan berikan wangnya kepada orang miskin, maka kamu akan beroleh harta di syurga. Kemudian marilah, ikutlah Aku.”
22. Apabila orang muda itu mendengar hal ini, dia meninggalkan tempat itu dengan susah hati kerana dia sangat kaya.
23. Lalu Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, “Ketahuilah, susah sekali bagi seorang kaya menikmati Pemerintahan Allah.
24. Aku berkata kepada kamu: Lebih mudah bagi seekor unta memasuki lubang jarum daripada seorang kaya menikmati Pemerintahan Allah.”
25. Apabila pengikut-pengikut Yesus mendengar kata-kata-Nya, mereka sangat hairan. Mereka berkata, “Jika demikian siapakah yang boleh diselamatkan?”