10. Pengikut-pengikut Yesus berkata kepada-Nya, “Jika demikian halnya dengan kehidupan suami isteri, lebih baik tidak berkahwin.”
11. Yesus menjawab, “Tidak semua orang dapat menerima ajaran ini, hanya mereka yang sudah dikurniai oleh Allah kemampuan untuk menerimanya.
12. Banyak sebabnya mengapa orang tidak berkahwin: Ada yang dilahirkan demikian, ada yang dijadikan mandul, dan ada pula yang tidak berkahwin supaya dapat mengabdikan diri kepada Allah. Biarlah orang yang sanggup menerima ajaran ini, berbuat demikian.”
13. Beberapa orang membawa kanak-kanak kepada Yesus supaya Yesus meletakkan tangan-Nya pada kepala kanak-kanak itu dan mendoakan mereka. Tetapi pengikut-pengikut Yesus memarahi orang yang membawa semua kanak-kanak itu.
14. Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, “Biarlah kanak-kanak itu datang kepada-Ku! Jangan larang mereka, kerana orang seperti inilah yang menikmati Pemerintahan Allah.”
15. Yesus meletakkan tangan-Nya pada kepala semua kanak-kanak itu. Kemudian Dia pergi.
16. Pada suatu hari seorang lelaki datang kepada Yesus. Dia bertanya, “Guru, perbuatan baik apakah yang harus saya lakukan supaya beroleh hidup sejati dan kekal?”
17. Yesus menjawab, “Mengapakah kamu bertanya kepada-Ku tentang apa yang baik? Hanya Allah yang baik. Taatilah hukum Allah jika kamu hendak beroleh hidup sejati dan kekal.”