Matius 17:15-27 Alkitab Berita Baik (BM)

15. Dia berkata, “Tuan, kasihanilah anak lelaki saya! Dia menderita penyakit gila babi. Serangan sawannya begitu teruk sehingga kerap kali dia jatuh ke dalam air atau api.

16. Saya membawa dia kepada pengikut-pengikut tuan, tetapi mereka tidak dapat menyembuhkannya.”

17. Yesus menjawab, “Hai kamu orang yang tidak percaya dan yang sesat! Berapa lamakah Aku harus tinggal bersama-sama kamu? Berapa lamakah Aku harus bersabar terhadap kamu? Bawa anak itu ke mari!”

18. Yesus menengking roh jahat itu, dan roh jahat itu pun keluar daripada anak itu. Pada saat itu juga anak itu sembuh.

19. Kemudian pengikut-pengikut Yesus datang kepada Yesus, dan apabila tidak ada orang lain di situ mereka bertanya, “Mengapakah kami tidak dapat mengusir roh jahat itu?”

20. Yesus menjawab, “Kamu tidak dapat melakukannya, kerana kamu kurang percaya kepada Allah. Ketahuilah! Jika kamu mempunyai iman sebesar biji sawi, kamu dapat berkata kepada bukit ini, ‘Beralihlah ke sana!’ dan bukit ini akan beralih. Kamu dapat melakukan apa sahaja! [

21. Tetapi roh jahat semacam ini, hanya dapat diusir dengan doa dan puasa.]”

22. Apabila semua pengikut Yesus berkumpul di Galilea, Yesus berkata kepada mereka, “Tidak lama lagi Anak Manusia akan diserahkan ke dalam kekuasaan manusia.

23. Dia akan dibunuh, tetapi pada hari ketiga, Dia akan dibangkitkan semula.”Oleh itu pengikut-pengikut-Nya berdukacita.

24. Apabila Yesus dan pengikut-pengikut-Nya tiba di Kapernaum, para pemungut cukai Rumah Tuhan datang kepada Petrus dan bertanya, “Adakah guru kamu membayar cukai Rumah Tuhan?”

25. Petrus menjawab, “Tentu sahaja!”Apabila Petrus masuk ke dalam rumah, dan sebelum dia berkata apa-apa, Yesus berkata kepadanya, “Simon, apa pendapatmu? Siapakah yang membayar cukai kepada raja-raja dunia ini? Rakyat atau orang asing?”

26. “Orang asing,” jawab Petrus.“Jika demikian,” kata Yesus, “rakyat tidak perlu membayar.

27. Tetapi janganlah kita singgung perasaan sesiapa pun. Pergilah ke tasik dan pancinglah ikan. Di dalam mulut ikan pertama yang engkau tangkap, engkau akan mendapati sekeping duit syiling yang cukup untuk membayar cukai Rumah Tuhan bagi kita berdua. Ambillah duit itu dan bayarlah cukai kita.”

Matius 17