12. Kemudian pengikut-pengikut Yesus datang dan berkata kepada-Nya, “Guru, tahukah Guru bahawa orang Farisi tersinggung oleh kata-kata Guru?”
13. Yesus menjawab, “Tiap-tiap tanaman yang tidak ditanam oleh Bapa-Ku di syurga akan dicabut.
14. Jangan pedulikan orang Farisi. Mereka pemimpin buta, dan apabila orang buta memimpin orang buta, kedua-dua mereka jatuh ke dalam longkang.”
15. Petrus berkata, “Jelaskanlah makna perumpamaan itu kepada kami.”
16. Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, “Kamu ini pengikut-Ku, tetapi kamu pun tidak faham seperti mereka.
17. Tidakkah kamu mengerti? Apa yang masuk ke dalam mulut seseorang, turun ke dalam perut lalu keluar lagi.
18. Tetapi apa yang keluar dari mulut, berasal dari hati, dan hal-hal inilah yang menajiskan orang.
19. Dari hatilah timbul fikiran jahat, yang menyebabkan seseorang membunuh, berzina, berbuat cabul, merompak, memberikan kesaksian palsu, dan memfitnah.
20. Hal-hal itulah yang menajiskan orang, dan bukan makan dengan tidak membasuh tangan menurut adat!”
21. Yesus meninggalkan tempat itu lalu pergi ke kawasan dekat bandar Tirus dan Sidon.
22. Seorang wanita Kanaan yang tinggal di kawasan itu datang kepada Yesus dan berseru, “Anak Daud, kasihanilah saya! Anak perempuan saya dirasuk roh jahat dan keadaannya amat teruk.”
23. Yesus tidak menjawab sepatah kata pun. Pengikut-pengikut-Nya datang dan memohon kepada-Nya, “Suruhlah wanita ini pergi. Dia mengikut kita dan membuat bising sahaja!”
24. Yesus berkata kepada wanita itu, “Aku diutus hanya kepada orang Israel yang seperti domba yang sesat.”
25. Mendengar kata-kata itu, wanita itu menghampiri Yesus dan sujud di hadapan-Nya. Dia berkata, “Tuan, tolonglah saya.”
26. Tetapi Yesus menjawab, “Tidaklah patut mengambil makanan anak-anak lalu melemparkannya kepada anjing.”
27. “Betul, tuan,” jawab wanita itu, “tetapi anjing pun makan sisa yang jatuh dari meja tuannya.”