17. Pengikut-pengikut-Nya berkata, “Kami hanya mempunyai lima ketul roti dan dua ekor ikan!”
18. Yesus berkata, “Bawalah makanan itu kepada-Ku.”
19. Kemudian Dia menyuruh orang ramai duduk di atas rumput. Lalu Yesus mengambil lima ketul roti dan dua ekor ikan itu. Kemudian Dia menengadah ke langit dan mengucap syukur kepada Allah. Setelah itu Dia membahagikan roti itu dan menyerahkannya kepada pengikut-pengikut-Nya supaya diberikan kepada orang ramai itu.
20. Tiap-tiap orang makan sehingga kenyang. Selepas itu pengikut-pengikut-Nya mengumpulkan lebihan makanan sebanyak dua belas buah bakul.
21. Jumlah orang lelaki yang makan kira-kira lima ribu orang, belum terhitung wanita dan kanak-kanak.
22. Kemudian Yesus menyuruh pengikut-pengikut-Nya naik perahu dan menyeberangi tasik terlebih dahulu, sementara Dia menyuruh orang ramai pulang.
23. Setelah orang ramai pergi, Yesus naik ke bukit seorang diri lalu berdoa. Pada petang harinya Yesus masih sendirian di situ.
24. Tetapi pada masa itu perahu yang dinaiki oleh pengikut Yesus sudah jauh di tengah-tengah tasik, dan diumbang-ambingkan ombak kerana angin bertiup dari arah yang berlawanan.
25. Antara pukul tiga dan enam pagi, Yesus berjalan di atas air dan menghampiri mereka.
26. Apabila pengikut-pengikut-Nya nampak Dia berjalan di atas air, mereka berasa gerun. “Hantu!” jerit mereka dengan ketakutan.
27. Tetapi Yesus segera berkata kepada mereka, “Tabahkan hati kamu! Aku Yesus. Jangan takut!”
28. Lalu Petrus berkata, “Ya Tuhan, jika Engkau benar-benar Yesus, suruhlah aku datang berjalan di atas air.”
29. “Marilah,” jawab Yesus. Petrus turun dari perahu dan mula berjalan di atas air menuju kepada Yesus.
30. Tetapi apabila Petrus nampak betapa kencangnya angin bertiup, dia takut dan mula tenggelam. Lalu Petrus berseru, “Ya Tuhan, selamatkanlah aku!”
31. Dengan segera Yesus menghulurkan tangan lalu memegang dia. Yesus berkata, “Mengapa engkau kurang percaya kepada-Ku? Mengapa engkau meragui Aku?”
32. Lalu kedua-dua mereka menaiki perahu dan angin pun teduh.
33. Kemudian pengikut Yesus yang di perahu sujud menyembah Yesus sambil berkata, “Sesungguhnya Engkau Anak Allah!”
34. Mereka menyeberangi tasik lalu tiba di Genesaret.