4. Semasa dia menabur benih, ada benih yang jatuh di jalan, lalu burung datang dan memakan habis benih itu.
5. Ada juga yang jatuh di tempat berbatu yang sedikit tanahnya. Benih-benih itu segera bertunas kerana tanahnya sedikit.
6. Tetapi apabila matahari naik, tunas-tunas itu layu lalu kering. Tumbuhan itu mati kerana akarnya tidak dalam.
7. Ada pula yang jatuh di tengah semak berduri. Semak berduri itu tumbuh, lalu membantutkan tumbuhan itu.
8. Tetapi ada benih yang jatuh di tanah subur lalu berbuah. Hasilnya ada yang seratus kali ganda, ada yang enam puluh kali ganda, dan ada yang tiga puluh kali ganda.”
9. Lalu Yesus berkata, “Jika kamu bertelinga, dengarlah!”
10. Kemudian pengikut-pengikut Yesus datang dan bertanya kepada-Nya, “Mengapa Guru menggunakan perumpamaan ketika berkata-kata kepada orang ramai?”
11. Yesus menjawab, “Kamu telah diberikan anugerah untuk mengetahui rahsia tentang bagaimana Allah memerintah, sedangkan mereka tidak.
12. Seseorang yang mempunyai sesuatu akan diberikan lebih banyak lagi, supaya dia beroleh lebih daripada cukup. Tetapi seseorang yang tidak mempunyai apa-apa, sedikit yang ada padanya akan diambil juga.