5. Belum pernahkah kamu baca di dalam Taurat Musa bahawa pada setiap hari Sabat, imam di Rumah Tuhan sebetulnya melanggar hukum hari Sabat? Tetapi mereka tidak disalahkan.
6. Perhatikan apa yang Aku katakan ini: Di sini ada yang lebih penting daripada Rumah Tuhan.
7. Di dalam Alkitab tertulis, ‘Aku menghendaki belas kasihan, bukan korban binatang.’ Jika kamu benar-benar memahami ayat itu, tentu kamu tidak akan menyalahkan orang yang tidak bersalah,
8. kerana Anak Manusia berkuasa atas hari Sabat.”
9. Yesus meninggalkan tempat itu lalu pergi ke sebuah rumah ibadat.
10. Di situ ada seorang yang tangannya lumpuh sebelah. Tetapi ada juga beberapa orang yang hendak mencari-cari kesalahan Yesus supaya dapat menuduh Dia. Mereka bertanya kepada Yesus, “Adakah menyembuhkan orang pada hari Sabat melanggar Taurat kita?”
11. Yesus menjawab, “Apakah yang akan kamu lakukan seandainya seorang antara kamu mempunyai seekor domba, lalu pada hari Sabat domba itu jatuh ke dalam lubang yang dalam? Tentunya kamu akan berusaha untuk mengeluarkannya dari lubang itu.
12. Manusia lebih berharga daripada domba! Oleh itu, Taurat kita membenarkan kita menolong seseorang pada hari Sabat.”
13. Kemudian Yesus berkata kepada orang yang tangannya lumpuh sebelah, “Hulurkanlah tanganmu.”Orang itu pun menghulurkan tangannya, dan sembuhlah tangan itu sehingga seperti tangannya yang sebelah.
14. Tetapi orang Farisi di situ meninggalkan tempat itu lalu berkomplot hendak membunuh Yesus.
15. Apabila Yesus mengetahui pakatan jahat itu, Dia pergi dari situ dan banyak orang mengikut Dia. Dia menyembuhkan semua orang sakit,
16. dan melarang mereka memberitahu orang lain tentang Dia.
17. Dia berbuat demikian supaya berlakulah apa yang difirmankan Allah melalui Nabi Yesaya,
18. “Inilah hamba-Ku yang telah Aku pilih,orang yang Aku kasihi dan yang menyenangkan hati-Ku.Roh-Ku akan Aku anugerahkan kepada-Nya,dan keadilan-Ku akan diisytiharkan-Nya kepada semua bangsa.
19. Dia tidak akan bertengkar atau berteriak,ataupun berkata-kata dengan suara kuat di jalan-jalan raya.
20. Buluh halus yang terkulai tidak akan dipatahkan-Nya,pelita yang redup tidak akan dipadamkan-Nya.Dia akan berjuang sehingga keadilan tercapai,
21. dan semua bangsa akan berharap kepada-Nya.”
22. Kemudian seorang yang buta dan bisu kerana dirasuk roh jahat dibawa kepada Yesus. Yesus menyembuhkannya sehingga orang itu dapat bercakap dan melihat.
23. Orang ramai di situ kehairanan, lalu mereka bertanya, “Mungkinkah Dia ini Anak Daud?”
24. Apabila orang Farisi mendengar hal ini, mereka menjawab, “Dia dapat mengusir roh jahat hanya kerana Dia diberikan kuasa oleh Beelzebul, ketua roh jahat.”