Matius 12:33-44 Alkitab Berita Baik (BM)

33. “Untuk mendapat buah yang baik, kamu harus mempunyai pokok yang baik. Jika pokok kamu tidak baik, buahnya pun tidak baik. Baik tidaknya sesuatu pokok diketahui daripada buahnya.

34. Hai kamu orang jahat, bagaimanakah kamu dapat mengatakan perkara-perkara baik padahal kamu ini jahat? Orang mengucapkan apa yang terkandung di dalam hati.

35. Seorang yang baik mengeluarkan perkara-perkara baik, kerana hatinya penuh kebaikan. Seorang yang jahat mengeluarkan perkara-perkara jahat, kerana hatinya penuh kejahatan.

36. Ketahuilah bahawa pada Hari Kiamat setiap orang harus mempertanggungjawabkan tiap-tiap kata yang tidak seharusnya diucapkan.

37. Kata-kata kamu akan digunakan untuk menentukan sama ada kamu bersalah atau tidak.”

38. Kemudian beberapa orang guru Taurat dan orang Farisi berkata, “Guru, kami ingin melihat guru melakukan mukjizat.”

39. Tetapi Yesus menjawab, “Alangkah jahat dan derhakanya orang zaman ini! Kamu meminta Aku melakukan mukjizat? Tidak! Satu-satunya mukjizat yang akan ditunjukkan kepada kamu adalah mukjizat Nabi Yunus.

40. Sebagaimana Yunus tinggal tiga hari dan tiga malam di dalam perut ikan besar, demikian juga Anak Manusia akan tinggal tiga hari dan tiga malam di dalam perut bumi.

41. Pada Hari Kiamat kelak, penduduk Niniwe akan bangkit bersama-sama orang zaman ini, lalu menuduh kamu kerana mereka bertaubat daripada dosa apabila mereka mendengar perkhabaran yang disampaikan oleh Yunus. Tetapi ketahuilah, di sini sekarang ada yang lebih besar daripada Yunus!

42. Pada Hari Kiamat kelak, ratu dari Syeba akan bangkit bersama-sama orang zaman ini, lalu menuduh kamu kerana ratu itu datang dari hujung bumi untuk mendengar ajaran Raja Salomo yang bijak itu. Ketahuilah, di sini sekarang ada yang lebih besar daripada Raja Salomo!”

43. “Apabila roh jahat meninggalkan seseorang, roh itu menjelajah tempat yang kering untuk mencari tempat tinggal. Jika tempat tinggal tidak ditemuinya,

44. roh itu akan berkata, ‘Aku akan balik ke rumah yang telah aku tinggalkan.’ Kemudian roh itu balik dan mendapati rumah itu kosong, bersih, dan teratur.

Matius 12