25. Yesus mengetahui fikiran orang Farisi, lalu berkata kepada mereka, “Negeri yang berpecah menjadi beberapa bahagian lalu saling bermusuhan, tidak akan tahan lama. Bandar atau keluarga yang berpecah belah dan saling berlawanan, akan hancur.
26. Demikian juga, jika kerajaan Iblis mempunyai golongan yang saling berlawanan, maka kerajaan itu sudah berpecah belah dan segera akan runtuh.
27. Kamu berkata bahawa Aku mengusir roh jahat kerana Aku diberikan kuasa oleh Beelzebul. Jika demikian siapakah yang memberikan kuasa mengusir roh jahat kepada para pengikut kamu? Pengikut kamu membuktikan bahawa pendapat kamu itu salah!
28. Roh Allah memberi Aku kuasa untuk mengusir roh jahat. Hal ini membuktikan bahawa Allah sudah mula memerintah di kalangan kamu.
29. Tidak seorang pun dapat masuk ke dalam rumah seorang yang kuat lalu merampas hartanya, kecuali dia terlebih dahulu mengikat orang kuat itu. Barulah dia dapat merampas hartanya.
30. Sesiapa yang tidak berpihak kepada-Ku sebenarnya melawan Aku, dan sesiapa yang tidak menolong Aku, sebenarnya merosakkan pekerjaan-Ku!
31. Oleh itu ketahuilah, orang yang berbuat dosa ataupun mengatakan kata-kata kufur, akan diampuni. Tetapi sesiapa mengkufuri Roh Allah, tidak akan diampuni!
32. Sesiapa yang dengan kata-katanya menentang Anak Manusia dapat diampuni, tetapi sesiapa yang menghina Roh Allah tidak dapat diampuni, baik sekarang mahupun di akhirat!”
33. “Untuk mendapat buah yang baik, kamu harus mempunyai pokok yang baik. Jika pokok kamu tidak baik, buahnya pun tidak baik. Baik tidaknya sesuatu pokok diketahui daripada buahnya.
34. Hai kamu orang jahat, bagaimanakah kamu dapat mengatakan perkara-perkara baik padahal kamu ini jahat? Orang mengucapkan apa yang terkandung di dalam hati.
35. Seorang yang baik mengeluarkan perkara-perkara baik, kerana hatinya penuh kebaikan. Seorang yang jahat mengeluarkan perkara-perkara jahat, kerana hatinya penuh kejahatan.
36. Ketahuilah bahawa pada Hari Kiamat setiap orang harus mempertanggungjawabkan tiap-tiap kata yang tidak seharusnya diucapkan.
37. Kata-kata kamu akan digunakan untuk menentukan sama ada kamu bersalah atau tidak.”
38. Kemudian beberapa orang guru Taurat dan orang Farisi berkata, “Guru, kami ingin melihat guru melakukan mukjizat.”
39. Tetapi Yesus menjawab, “Alangkah jahat dan derhakanya orang zaman ini! Kamu meminta Aku melakukan mukjizat? Tidak! Satu-satunya mukjizat yang akan ditunjukkan kepada kamu adalah mukjizat Nabi Yunus.
40. Sebagaimana Yunus tinggal tiga hari dan tiga malam di dalam perut ikan besar, demikian juga Anak Manusia akan tinggal tiga hari dan tiga malam di dalam perut bumi.