Matius 12:12-28 Alkitab Berita Baik (BM)

12. Manusia lebih berharga daripada domba! Oleh itu, Taurat kita membenarkan kita menolong seseorang pada hari Sabat.”

13. Kemudian Yesus berkata kepada orang yang tangannya lumpuh sebelah, “Hulurkanlah tanganmu.”Orang itu pun menghulurkan tangannya, dan sembuhlah tangan itu sehingga seperti tangannya yang sebelah.

14. Tetapi orang Farisi di situ meninggalkan tempat itu lalu berkomplot hendak membunuh Yesus.

15. Apabila Yesus mengetahui pakatan jahat itu, Dia pergi dari situ dan banyak orang mengikut Dia. Dia menyembuhkan semua orang sakit,

16. dan melarang mereka memberitahu orang lain tentang Dia.

17. Dia berbuat demikian supaya berlakulah apa yang difirmankan Allah melalui Nabi Yesaya,

18. “Inilah hamba-Ku yang telah Aku pilih,orang yang Aku kasihi dan yang menyenangkan hati-Ku.Roh-Ku akan Aku anugerahkan kepada-Nya,dan keadilan-Ku akan diisytiharkan-Nya kepada semua bangsa.

19. Dia tidak akan bertengkar atau berteriak,ataupun berkata-kata dengan suara kuat di jalan-jalan raya.

20. Buluh halus yang terkulai tidak akan dipatahkan-Nya,pelita yang redup tidak akan dipadamkan-Nya.Dia akan berjuang sehingga keadilan tercapai,

21. dan semua bangsa akan berharap kepada-Nya.”

22. Kemudian seorang yang buta dan bisu kerana dirasuk roh jahat dibawa kepada Yesus. Yesus menyembuhkannya sehingga orang itu dapat bercakap dan melihat.

23. Orang ramai di situ kehairanan, lalu mereka bertanya, “Mungkinkah Dia ini Anak Daud?”

24. Apabila orang Farisi mendengar hal ini, mereka menjawab, “Dia dapat mengusir roh jahat hanya kerana Dia diberikan kuasa oleh Beelzebul, ketua roh jahat.”

25. Yesus mengetahui fikiran orang Farisi, lalu berkata kepada mereka, “Negeri yang berpecah menjadi beberapa bahagian lalu saling bermusuhan, tidak akan tahan lama. Bandar atau keluarga yang berpecah belah dan saling berlawanan, akan hancur.

26. Demikian juga, jika kerajaan Iblis mempunyai golongan yang saling berlawanan, maka kerajaan itu sudah berpecah belah dan segera akan runtuh.

27. Kamu berkata bahawa Aku mengusir roh jahat kerana Aku diberikan kuasa oleh Beelzebul. Jika demikian siapakah yang memberikan kuasa mengusir roh jahat kepada para pengikut kamu? Pengikut kamu membuktikan bahawa pendapat kamu itu salah!

28. Roh Allah memberi Aku kuasa untuk mengusir roh jahat. Hal ini membuktikan bahawa Allah sudah mula memerintah di kalangan kamu.

Matius 12