10. Yohanes Pembaptis itulah yang dikatakan dalam ayat Alkitab, ‘Allah berfirman: Inilah utusan-Ku. Aku akan mengutus dia dahulu daripada-Mu untuk menyediakan jalan bagi-Mu.’
11. Ketahuilah! Yohanes Pembaptis lebih besar daripada semua orang yang pernah hidup di dunia ini. Namun demikian orang yang terkecil antara mereka yang menikmati Pemerintahan Allah, lebih besar daripada Yohanes.
12. Sejak Yohanes Pembaptis mengkhabarkan beritanya sehingga saat ini, Pemerintahan Allah telah dilawan oleh orang ganas yang berusaha menguasainya dengan kekerasan.
13. Sehingga kedatangan Yohanes, semua nabi dan Taurat Musa bernubuat tentang Pemerintahan itu.
14. Jika kamu mahu percaya kepada perkhabaran mereka, Yohanes itulah Elia yang kedatangannya sudah dinubuatkan.
15. Jika kamu bertelinga, dengarlah!
16. Dengan apakah dapat Aku bandingkan orang zaman ini? Mereka seperti anak-anak yang duduk di pasar. Kumpulan yang satu berseru kepada yang lain,
17. ‘Kami memainkan lagu perkahwinan untuk kamu, tetapi kamu tidak mahu menari! Kami meratap, tetapi kamu tidak mahu menangis!’
18. Apabila Yohanes datang, dia berpuasa dan tidak minum wain; lalu semua orang berkata, ‘Dia dirasuk syaitan!’
19. Apabila Anak Manusia datang, Dia makan dan minum; lalu semua orang berkata, ‘Lihatlah orang ini! Dia rakus, pemabuk, sahabat pemungut cukai, dan sahabat orang berdosa!’ Walaupun demikian kebijaksanaan Allah dibuktikan benar oleh perbuatan orang yang menerima kebijaksanaan itu.”
20. Lalu Yesus mula mencela bandar-bandar tempat Dia paling banyak melakukan mukjizat, kerana penduduk di sana tidak mahu bertaubat daripada dosa mereka.
21. “Alangkah malangnya kamu, hai Korazin! Alangkah malangnya kamu, hai Betsaida! Jika mukjizat-mukjizat yang dilakukan di kalangan kamu itu Aku lakukan di Tirus dan Sidon, penduduk di sana pasti sudah lama bertaubat daripada dosa mereka, lalu mengenakan kain guni dan menaruh abu di kepala.
22. Ketahuilah! Pada Hari Kiamat, Allah akan lebih mengasihani penduduk Tirus dan Sidon daripada kamu!
23. Dan kamu, hai Kapernaum! Adakah kamu hendak meninggikan diri sampai ke syurga? Kamu akan dibuang ke neraka! Jika mukjizat-mukjizat yang dilakukan di kalangan kamu itu Aku lakukan di Sodom, tentu Sodom masih ada sehingga saat ini!
24. Ketahuilah! Pada Hari Kiamat, Allah akan lebih mengasihani Sodom daripada kamu!”
25. Pada masa itu Yesus berkata, “Ya Bapa, Tuhan langit dan bumi! Aku bersyukur kepada-Mu kerana apa yang Engkau rahsiakan daripada orang yang bijak pandai, Engkau tunjukkan kepada orang yang tidak terpelajar.
26. Ya Bapa, memang hal inilah yang Engkau kehendaki.”
27. Yesus berkata lagi, “Bapa-Ku telah menyerahkan segala sesuatu kepada-Ku. Tidak seorang pun mengenal Anak kecuali Bapa, dan tidak seorang pun mengenal Bapa kecuali Anak dan mereka yang diberitahu oleh Anak tentang Bapa.
28. Marilah kepada-Ku, hai kamu semua yang lelah kerana memikul beban yang berat; Aku akan membebaskan kamu daripada beban kamu.
29. Ikutlah perintah-Ku dan terimalah ajaran-Ku, kerana Aku ini lemah lembut dan rendah hati; kamu akan mendapat kesejahteraan.