Matius 10:5-18 Alkitab Berita Baik (BM)

5. Yesus mengutus dua belas orang rasul itu dengan petunjuk seperti berikut, “Janganlah pergi ke daerah orang bukan Yahudi atau bandar orang Samaria.

6. Pergilah kepada orang Israel, yang seperti domba yang sesat.

7. Pergilah dan khabarkanlah bahawa ‘tidak lama lagi Allah akan memerintah.’

8. Sembuhkanlah orang yang sakit; bangkitkan orang yang mati; sembuhkanlah orang berpenyakit kulit yang mengerikan dan usirlah roh jahat. Kamu sudah menerima kuasa ini dengan percuma, maka lakukanlah semuanya tanpa meminta bayaran!

9. Janganlah bawa wang emas, perak, ataupun tembaga.

10. Janganlah bawa beg sedekah, atau baju ganti, atau kasut, atau tongkat dalam perjalanan kamu. Seorang pekerja layak menerima apa yang diperlukannya.

11. Apabila kamu tiba di suatu bandar atau pekan, carilah seorang yang rela menyambut kamu. Tinggallah dengan dia sehingga kamu meninggalkan tempat itu.

12. Apabila kamu masuk ke rumah orang, berikanlah salam.

13. Jika orang di rumah itu menyambut kamu, biarlah salam sejahtera kamu itu tinggal dengan mereka. Tetapi jika tidak, tariklah balik salam kamu itu.

14. Jika ada rumah atau bandar yang tidak mahu menyambut atau mendengarkan kata-kata kamu, tinggalkanlah tempat itu dan kebaskanlah debu daripada telapak kaki kamu.

15. Ingatlah! Pada Hari Kiamat, Allah akan lebih mengasihani penduduk Sodom dan Gomora, daripada penduduk bandar itu!”

16. “Dengarlah! Aku mengutus kamu seperti domba ke tengah-tengah serigala. Kamu harus waspada seperti ular dan tulus hati seperti burung merpati.

17. Berjaga-jagalah, kerana ada orang yang akan menangkap kamu dan membawa kamu ke mahkamah, dan kamu akan disesah di rumah ibadat mereka.

18. Kamu akan diadili di hadapan penguasa dan raja kerana kamu pengikut-Ku, dan kamu akan mengkhabarkan Berita Baik daripada Allah kepada mereka dan kepada bangsa yang tidak mengenal Allah.

Matius 10