3. Filipus dan Bartolomeus; Tomas dan Matius yang dahulunya pemungut cukai; Yakobus anak Alfeus dan Tadius;
4. Simon, Si Patriot dan Yudas Iskariot yang mengkhianati Yesus.
5. Yesus mengutus dua belas orang rasul itu dengan petunjuk seperti berikut, “Janganlah pergi ke daerah orang bukan Yahudi atau bandar orang Samaria.
6. Pergilah kepada orang Israel, yang seperti domba yang sesat.
7. Pergilah dan khabarkanlah bahawa ‘tidak lama lagi Allah akan memerintah.’
8. Sembuhkanlah orang yang sakit; bangkitkan orang yang mati; sembuhkanlah orang berpenyakit kulit yang mengerikan dan usirlah roh jahat. Kamu sudah menerima kuasa ini dengan percuma, maka lakukanlah semuanya tanpa meminta bayaran!
9. Janganlah bawa wang emas, perak, ataupun tembaga.
10. Janganlah bawa beg sedekah, atau baju ganti, atau kasut, atau tongkat dalam perjalanan kamu. Seorang pekerja layak menerima apa yang diperlukannya.
11. Apabila kamu tiba di suatu bandar atau pekan, carilah seorang yang rela menyambut kamu. Tinggallah dengan dia sehingga kamu meninggalkan tempat itu.
12. Apabila kamu masuk ke rumah orang, berikanlah salam.
13. Jika orang di rumah itu menyambut kamu, biarlah salam sejahtera kamu itu tinggal dengan mereka. Tetapi jika tidak, tariklah balik salam kamu itu.
14. Jika ada rumah atau bandar yang tidak mahu menyambut atau mendengarkan kata-kata kamu, tinggalkanlah tempat itu dan kebaskanlah debu daripada telapak kaki kamu.
15. Ingatlah! Pada Hari Kiamat, Allah akan lebih mengasihani penduduk Sodom dan Gomora, daripada penduduk bandar itu!”