30. Yesus dan pengikut-pengikut-Nya meninggalkan tempat itu lalu meneruskan perjalanan melalui Galilea. Yesus tidak mahu orang tahu di mana Dia,
31. kerana Dia sedang mengajar pengikut-pengikut-Nya. Dia berkata, “Anak Manusia akan diserahkan ke dalam kekuasaan manusia, lalu Dia akan dibunuh, tetapi tiga hari kemudian Dia akan bangkit semula!”
32. Mereka tidak memahami makna ajaran itu, tetapi mereka takut bertanya kepada Yesus.
33. Mereka tiba di Kapernaum. Setelah mereka masuk ke rumah, Yesus bertanya kepada pengikut-pengikut-Nya, “Apakah yang kamu persoalkan di tengah jalan tadi?”
34. Mereka tidak menjawab, kerana sewaktu dalam perjalanan, mereka mempersoalkan siapa yang terbesar.